MARSHA dan Velvet curahkan sepenuh jiwa dan tenaga demi hasilkan Aramaitiii.
MARSHA dan Velvet curahkan sepenuh jiwa dan tenaga demi hasilkan Aramaitiii.
Georgie Joseph


Kira-kira empat tahun lalu, dua sahabat yang juga penyanyi Marsha Milan, 37, dan Velvet Aduk, 35, teguh memperjuangkan lagu kerakyatan Sabah.

Misi mereka tidak lain ingin martabat budaya indah dari negeri itu ke mata dunia.

Kerja keras mereka terpaksa sanggup mengeluarkan wang sendiri tanpa mengharapkan tajaan terbayar dengan sambutan luar biasa terhadap karya mereka.

Lagu Sumandak Sabah misalnya cukup fenomena dan berjaya meraih tontonan lebih 15 juta di YouTube, Oi Gaman (lebih 4.3 juta) dan Insan Tadau (lebih 258,000).

Terbaru, tampil dengan lagu berjudul Aramaitiii, Marsha dan Velvet cukup berbesar hati apabila buat pertama kali mendapat tajaan syarikat Qhazanah Sabah Berhad.

Syarikat itulah yang pertama percaya dengan gerakan mereka dan semestinya membawa makna yang besar.

Marsha berkata, sepanjang tempoh empat tahun ini, mereka bergerak sendiri dan bekerja keras atas dasar cinta mendalam terhadap budaya di Sabah.

"Kami mahu nama dan budaya Sabah diangkat lebih megah bukan setakat di Malaysia, tapi seluruh pelusuk dunia.

"Walaupun tanpa sokongan mana-mana perbadanan mahupun organisasi sebelum ini, kami kekal teruskan keghairahan demi perjuangan itu. Mendapat tajaan di saat-saat akhir untuk Aramaitiii, kami tak henti panjatkan kesyukuran terhadap kepercayaan Qhazanah Sabah Berhad," katanya.

Disuntik dengan elemen bunyi muzik universal selain memasukkan bunyi alat muzik tradisional dari Sabah, mereka berhasrat mengangkat karya ini ke tahap lebih tinggi terutama ke peringkat antarabangsa.

Menurut Velvel, sejak awal lagi mereka sudah menyimpan visi bahawa lagu Aramatiii tidak hanya akan terhenti dalam radar hiburan tempatan.

Mereka juga sangat bersemangat untuk membawanya ke festival muzik antarabangsa selari dengan kualiti keseluruhan lagu ini.

"Sekarang kami perlu lipat gandakan usaha untuk mengkaji mekanisme terbaik bagi menghantarnya kepada mana-mana pihak penganjur di luar negara. Apapun, kami yakin jalan itu pasti terbuka dengan kesungguhan kami tunjukkan," katanya.

Cukup teruja dan berkongsi mengenai Aramaitiii, Marsha dan Velvet mendedikasikan lagu itu terhadap semangat bermuafakat di Sabah yang terus kukuh sehingga kini.

Dihuni lebih 40 suku etnik, rakyat negeri itu berkongsi semangat perpaduan cukup mengagumkan.

Atas faktor itu jugalah mereka memilih judul Aramatiii untuk lagu baharu ini. Ia sememangnya tidak asing lagi dan sering dilaungkan rata-rata rakyat Sabah bahkan sudah dikenali di seluruh Malaysia juga.

Velvet berkata, semangat bermuafakat yang wujud di Sabah sejak dulu menjadi tunjang penting perpaduan terus kukuh.

"Kami mahu tonjolkan itu dalam lagu serta muzik video Aramaitiii sehingga mesejnya mampu diserap sesiapa juga dari seluruh dunia.

"Kami memang berkeras memilih terma Aramaitiii yang cukup dekat di hati rakyat Sabah tanpa berfikir dua kali. Biarlah lirik 'aramatiii' itu diulang-ulang dan jadi cogan kata, paling penting mesej itu sampai serta menyentuh hati setiap pendengar," katanya.

Berbanding penghasilan muzik video (MV) lagu-lagu terdahulu, mereka menaik taraf lebih banyak aspek untuk MV Aramaitiii pula.

Marsha sendiri bertindak sebagai pengarah seluruh projek itu kali ini, manakala pengarah fotografi digalas Bryan Kouju dari Bryan Kouju Studio yang menjadi orang penting sejak dari lagu Sumandak Sabah lagi. Dia jugalah tulang belakang yang terus hasilkan sinematografi serta visual bermutu tinggi dalam setiap MV mereka selama ini.

"Buat pertama kali, kami menggunakan tenaga kerja seramai 26 kru dari kalangan rakan-rakan serta keluarga. Daripada produksi, penata gaya, penari dan lain-lain. Semua menyumbang idea kerana mempunyai minat serta kesungguhan memartabatkan keindahan budaya Sabah sebagaimana kami.

"Jika sebelum ini kami hanya lakukan penggambaran di sekitar Kota Kinabalu disebabkan kekangan peruntukan, kali ini kami luaskan kreativiti teroka lokasi menarik lain iaitu di Tambunan. Kami tidak kisah keluarkan wang sendiri untuk logistik penginapan dan kru lebih besar.

"Dari segi penggambaran, kami bersama satu pasukan memerah otak untuk jadikan kualiti hasilnya lebih mantap. Idea artistik, pengurusan produksi, tata rias, semualah kami buat dan mujur kami ada asas serta pengalaman untuk melaksanakannya," katanya.

Apa yang menarik, mereka turut menggunakan khidmat penata gaya tersohor Saerah Ridzuan dari Hello Stylar.

Saerah pernah memenangi anugerah Kostum Terbaik di Anugerah Muzik Video Antarabangsa di United Kingdom, tahun lalu.

Velvet berkata, Saerah membantu mereka menonjolkan elemen 'high fashion' yang unik serta kontemporari menerusi busana etnik yang diberi nafas baharu.

"Satu daripada persalinan kami turut diinspirasikan daripada warna bendera Sabah iaitu biru langit, merah, dan putih," katanya.

Dalam pada itu, Marsha dan Velvet sangat berterima kasih kepada setiap pihak yang memastikan projek itu megah terutama penaja-penaja termasuk Taman-Taman Sabah, Kiawayan Dance Club, The Kaingaran, serta penduduk Kampung Monsok, Tambunan.

Dua penyanyi prolifik ini sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri muzik tempatan. Masing-masing berjaya mengukir kejayaan membanggakan sejak memulakan karier sebagai anak seni tanpa mengenal erti putus asa.

Marsha misalnya berjaya mencipta fenomena tersendiri sebaik persembahan epik menyanyikan lagu Cinta sekali gus membawa pulang trofi naib juara dan Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36), baru-baru ini.

Velvet yang juga isteri kepada penyanyi Estranged, Rich Gimbang, terus bersinar dengan karya sendiri mahupun sebagai komposer.

Berpangkalan sepenuhnya di Sabah, Velvet memulakan karier muziknya selepas menyertai Akademi Fantasia 4 (AF4) pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 6:00 AM