MARSHA Milan.
MARSHA Milan.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pelakon, Marsha Milan, 34, akan terus menghasilkan lagu-lagu rakyat yang menjadi satu medium untuk dia menunjukkan rasa cinta kepada negeri kelahirannya, Sabah.

Marsha ketika dihubungi berkata, penghasilan lagu-lagu rakyat juga adalah sebahagian daripada projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripadanya.

“Saya ingin menyumbang sesuatu buat masyarakat dengan terus menghasilkan lagu-lagu rakyat. Secara tak langsung, ia juga memberi ruang untuk saya memperkenalkan budaya saya,” katanya.

Menurut Marsha yang popular dengan lagu duet bersama Velvet Aduk, Sumandak Sabah itu, dia juga ingin mendidik masyarakat mengenai tradisi selain menyatukan rakyat Malaysia.

“Ia secara tak langsung menjadi satu langkah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri masyarakat,” katanya.

Selain Sumandak Sabah yang video muziknya sudah mencecah lebih sembilan juta tontonan di YouTube, Marsha juga pernah menerbitkan dua lagi lagu rakyat popular berjudul Oi Gaman yang juga berduet bersama Velvet, serta La Langad bersama Felix.

Terbaru, Marsha kini sedang mencari material sesuai untuk dijadikan single lagu rakyat terbarunya.

Selain itu, Marsha akan berada di Sabah untuk menjayakan program Karnival Usahawan Desa yang bertempat di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, selama dua hari bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 3:13 PM