VELVET kembali bertugas sebagai penyampai radio dengan Kupikupi FM di Sabah.
VELVET kembali bertugas sebagai penyampai radio dengan Kupikupi FM di Sabah.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Selepas menyepi hampir enam tahun sebagai penyanyi, bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Velvet Lawrence Aduk, 29, kini mahu aktif menyebarkan nilai tradisi budaya Sabah menerusi perkongsian di stesen radio komuniti Kupikupi FM yang mula bersiaran awal Januari lalu.

Velvet yang kini bertugas sebagai penyampai radio di stesen itu mengakui masih menyanyi, tetapi hanya aktif di Sabah sahaja.

“Saya tidak mahu budaya komuniti lain di Sabah pupus dalam masa 50 tahun akan datang, Kupikupi FM mampu memainkan peranan selain menjadi pemangkin dalam membantu menyebarkan budaya yang ada di Sabah.

“Selain itu, ia menjadi inspirasi kepada komuniti dalam mewujudkan amalan hidup yang lebih harmoni,” katanya.

Velvet yang juga finalis AF4 berkata, sebelum menerima lamaran Kupikupi FM, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah menjaga anak.

“Walaupun sibuk di dapur dan rutin harian menghantar anak ke sekolah, saya masih memenuhi undangan nyanyian yang ada,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu pernah bertugas sebagai penyampai radio di sebuah stesen radio di Lembah Klang sebelum ini tetapi mengambil keputusan berhenti pada 2010 kerana mahu memberi tumpuan kepada anak.

Katanya, biarpun tidak aktif di Semenanjung selepas tamat AF10, dia sempat menghasilkan dua single duet bersama suaminya Rich AF berjudul Bersama Kamu dan Tanpa Terluka.

“Mula-mula saya tidak terfikir untuk kembali menjadi penyampai radio tetapi disebabkan niat untuk menyebarkan nilai budaya Sabah, saya setuju kembali ‘bersuara’ di stesen radio,”katanya.

Ditanya mengenai perancangan aktiviti nya­nyiannya, Velvet berkata, dia merancang menghasilkan sebuah single dalam bahasa Dusun tidak lama lagi.

Katanya, dia akan meminta bantuan daripada penulis berpengalaman untuk menghasilkan lirik dan lagu dalam bahasa berkenaan.

“Sebelum ini saya ada menyanyikan lagu dalam bahasa Dusun tetapi ia lagu penyanyi lain. Kali ini saya nak rakam lagu sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 9:08 AM