Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tiga beradik dari Kampung Banggol Batu, Lenggong, melakar kenangan manis bersama apabila merangkul johan untuk tiga kategori berbeza menerusi Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri bagi sesi 2022M/1443H, di sini, malam tadi.

Adibah Husni Ahmad Rozaini, 25, merangkul johan bagi kategori hafazan 1-30 juzuk wanita manakala dua adiknya, Aqilah Sulhi Ahmad Rozaini, 24, dan Muhammad Adib Ahmad Rozaini, 22, masing-masing merangkul johan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk wanita dan hafazan 1-20 juzuk lelaki.

Adibah Husni berkata, ini adalah kali kedua dia bersama dua adiknya itu menyertai pertandingan hafazan peringkat negeri selepas kali pertama pada tahun lalu.

Menurutnya, namun ketika itu hanya dia dan Aqilah Sulhi yang merangkul johan bagi kategori sama manakala Muhammad Adib sekadar menduduki naib johan bagi kategori sama seperti tahun ini.

"Tahun lalu, saya dan Aqilah muncul johan bagi kategori sama seperti tahun ini manakala Muhammad Adib sekadar menduduki naib johan.

"Bagaimanapun, tahun lalu, saya dan Aqilah tidak mewakili negeri ke acara Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan memandangkan acara itu tidak diadakan berikutan pandemik Covid-19.

"Sebelum ini, saya pernah dinobatkan johan kebangsaan bagi kategori hafazan 1-30 juzuk wanita pada 2019 manakala Aqilah Sulhi pernah merangkul naib johan kebangsaan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk pada 2020.

"Baru tahun ini Muhammad Adib layak mewakili Perak ke peringkat kebangsaan memandangkan buat pertama kalinya dia merangkul johan bagi kategori disertainya iaitu hafazan 1-20 juzuk lelaki," katanya ketika ditemui pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah di sini, malam tadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan berangkat ke majlis itu.

(DARI kiri) Adibah Husni, Muhammad Adib dan Aqilah Sulhi bersama hadiah dimenangi. FOTO L MANIMARAN
(DARI kiri) Adibah Husni, Muhammad Adib dan Aqilah Sulhi bersama hadiah dimenangi. FOTO L MANIMARAN

Turut berkenan berangkat adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah kepada Aiman Ridhwan Mohammad Ramlan dan Nurul Syafiqah Nardi yang merangkul gelaran sebagai johan qari dan qariah tilawah al-Quran.

Mereka membawa pulang wang tunai RM10,000, berserta pakej menunaikan haji bernilai RM10,000, selain hadiah iringan plak dan sijil.

Tempat kedua qari disandang Muhammad Sahran Termizi dan qariah pula oleh Munirah Razali, manakala tempat ketiga qari dimenangi Muhammad Kamaruzaman Daud dan qariah Norhazira Nabila Mohammad Kamel.

Pemenang naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000, berserta hadiah iringan plak dan sijil.

Semua pemenang qari dan qariah hafazan bagi kategori 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 hingga RM10,000, berserta hadiah iringan plak, dan sijil.

Johan bagi qari dan qariah hafazan bagi kategori 1-30 juzuk, iaitu Amirul Shariff Ahmad dan Adibah Husni Ahmad Rozaini turut menerima pakej menunaikan haji bernilai RM10,000.

Johan qari dan qariah tilawah serta hafazan akan mewakili Perak ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijangka berlangsung di Johor, antara Jun hingga Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 10:27 AM