Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dititah hadir pada majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19, pada jam 3 petang ini.

Sumber BN memaklumkan, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bagi menyaksikan majlis angkat sumpah berkenaan.

"Hasni ketika ini masih di kediaman rasmi sebelum bertolak ke Istana Bukit Serene.

"Sultan Ibrahim menitahkan supaya Hasni hadir pada majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 jam 3 petang ini.

"Sejurus selesai acara angkat sumpat Menteri Besar baharu, Hasni akan terus bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok," katanya ketika dihubungi.

Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Beliau adalah Menteri Besar yang ketiga dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 2:40 PM