Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang: Mayat kedua yang dibawa keluar selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini, semalam dikenal pasti adalah penghuni kediaman di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditemukan di kawasan luar kediamannya.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri.

Katanya, tapak rumah mangsa yang ditimbus tanah didapati beralih dari kedudukan asal.

"Kedudukan mangsa yang kami agak tidak berada di kedudukan sebenar memandangkan tapak rumah berkenaan sudah beralih dan kediaman terbabit juga musnah sepenuhnya akibat ditimbus tanah.

"Kami percaya kedudukan mangsa beralih kerana mengikut pergerakan tanah. Kerja-kerja mencari dua lagi mangsa iaitu pekerja Air Selangor serta seorang lagi penghuni di rumah ketiga yang masih hilang sedang giat dijalankan," katanya.

Mengulas mengenai pergerakan tanah itu, beliau berkata, pihak kejuruteraan dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan tiada pergerakan ketika ini.

"Bagaimanapun, penelitian rapi berhubung perkara itu (pergerakan tanah) akan dilakukan esok (hari ini).

"Ketika ini, kami sedang menumpukan usaha mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya pada berita palsu dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu.

Kenderaan polis keluar dari lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang. Foto Aizuddin Saad
Kenderaan polis keluar dari lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang. Foto Aizuddin Saad

Berita berkaitan

Anjing K9 digunakan cari 2 mangsa tertimbus

Mayat kedua mangsa tertimbus ditemukan

Pekerja Air Selangor lihat lori dinaiki rakan ditimbus tanah

'Berlaku 2 kali runtuhan' - Saksi

Mangsa kedua tertimbus disahkan meninggal dunia

5 mangsa tertimbus, 2 sudah ditemukan

'Sama-sama kita berdoa...' - PM

Mangsa kedua tertimbus berjaya dikeluarkan

3 tertimbus, runtuhan tanah hempap rumah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 12:50 AM