Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi aktiviti umrah bermula 14 Februari ini.

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, SOP itu termasuk individu bertanggungjawab dari ejen pelancongan perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di Pintu Masuk Antarabangsa Malaysia.

Beliau berkata, selain itu, individu terbabit perlu turut serta dengan jemaah sekiranya melebihi 40 orang atau disediakan bagi setiap tempoh itu untuk jumlah jemaah kurang dari 40 orang.

"Selain itu, dos penggalak diwajibkan dan jemaah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA).

"Tetapi jemaah dibenarkan menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet Covid-19 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

MENTERI Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media di Wisma Pertahanan, hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD
MENTERI Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media di Wisma Pertahanan, hari ini. FOTO AIZUDDIN SAAD

Beliau berkata, kebenaran untuk rakyat ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah yang ditangguhkan sebelum ini dibenarkan semula, bermula hari ini.

Menurutnya, Kuartet bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan selamat berangkat ke Tanah Suci dan selamat menunaikan umrah kepada semua jemaah terbabit.

"Kerajaan tahu bahawa ada jemaah berangkat ke Tanah Suci hari ini. Oleh itu, untuk jemaah umrah yang akan ke Arab Saudi hari ini sehingga 13 Februari, mereka terikat dengan SOP sedia ada.

"Bagaimanapun, apabila mereka pulang semula ke tanah air kelak, mereka diwajibkan mematuhi SOP baharu yang dikuatkuasakan," katanya.

Menjawab soalan mengenai pembukaan sempadan negara, beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk berbincang mengenai perkara itu.

Menurutnya, pembukaan sempadan adalah perkara besar dan selepas kementerian berbincang ia akan diangkat ke Kabinet sebelum diumumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 6:37 PM