Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Perancangan berkaitan Fasa 'Peralihan Ke Endemik' selesai dan keputusan menentukan bila fasa ini akan dilaksanakan bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 (JKKPP) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, negara tidak boleh berganjak daripada perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya ini.

Katanya, seperti yang dapat dilihat daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, biarpun jumlah kes harian terus meningkat, namun jumlah yang dirawat di wad dan Unit Rawatan Rapi adalah rendah.

"Ini menunjukkan sistem kesihatan negara berada dalam keadaan terkawal, selari dengan kenyataan Menteri Kesihatan semalam.

"Situasi ini penting kerana untuk melaksanakan Fasa 'Peralihan Ke Endemik', sistem kesihatan negara khususnya penggunaan katil di wad serta Unit Rawatan Rapi (ICU) harus terus berada pada kadar yang terkawal atau dalam erti kata lain tidak terbeban," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet Covid-19 di Wisma Pertahanan hari ini.

HISHAMMUDDIN pada sidang media khas. FOTO Aizuddin Saad
HISHAMMUDDIN pada sidang media khas. FOTO Aizuddin Saad

Katanya, peralihan ke endemik adalah satu pendekatan menyeluruh dalam menuju hidup bersama Covid-19.

"Terdapat tujuh tonggak di bawah pendekatan ini dan menerusi penelitian Kuartet, tujuh tonggak ini sudah bersedia iaitu pematuhan 1 Prosedur Operasi Standard (SOP) umum dan sembilan garis panduan, Sistem Amaran dan Tindakan (Heightened Alert System - HAS), National Testing Strategy, TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek), Automated FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate, Support), Pembukaan Sempadan Negara Secara Berperingkat dan Duta-Duta Pemerkasaan Komuniti.

Ditanya mengenai keperluan membuka hospital medan, beliau berkata, setakat ini tidak ada keperluan untuk berbuat demikian dengan mengambil kira situasi semasa.

"Kalau hospital sedia ada tidak membebankan, kita tidak perlu hospital medan.

"Kalau perlu, kita akan buat. Ia bukan masalah kerana membina hospital medan ini mengambil masa dalam seminggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 6:12 PM