Tinjauan dari udara bersama Unit Udara PDRM di kawasan terjejas banjir di Shah Alam. FOTO ARKIB NSTP
Tinjauan dari udara bersama Unit Udara PDRM di kawasan terjejas banjir di Shah Alam. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Rumusan yang dibuat pakar kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar mengenai kejadian banjir besar yang berlaku baru-baru ini khususnya di Selangor dan Pahang ialah akibat penukaran status guna tanah dan pembalakan secara tidak bertanggungjawab.

Inilah juga salah satu punca utama mengapa isu banjir saban tahun berlaku di negara ini dan sukar untuk ditangani.

Begitu juga pendapat Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka Malaysia), Prof Dr Shariffa Sabrina Syed Akil yang menyifatkan kejadian banjir besar yang melanda negara baru-baru ini sebagai suatu fenomena baru dikenali sebagai 'tsunami darat.'

Mengulas lanjut ketika dihubungi baru-baru ini mengenai fenomena 'tsunami darat', beliau berkata, faktor utama berlakunya banjir yang dahsyat ini disebabkan penebangan hutan dalam skala besar terutama di kawasan berbukit di bahagian hulu sungai.

Menurut beliau, hujan lebat yang berterusan beberapa hari tanpa henti menyebabkan aliran air dari kawasan tanah tinggi itu meluru laju ke sungai-sungai kerana tiada penahan semula jadi iaitu hutan.

"Perlu juga kita fahami dan insafi bahawa fungsi utama hutan hujan tropika adalah benteng semula jadi. Tambahan pula, apabila tiada lagi pokok untuk memegang tanah maka berlaku runtuhan tanah dan segala saki-baki kayu potong yang ditinggalkan itu dibawa bersama arus ke sungai hingga terjadilah banjir lumpur bersana serpihan.

"Kita boleh lihat keadaan air banjirnya seperti 'teh tarik' dan kayu hanyut, jelas membuktikan ia mengandungi lumpur dan serpihan tadi," jelasnya.

Beliau menambah, penilaian situasi banjir di Sungai Telemong, Bentong di Pahang baru-baru ini membuktikan wujud pembukaan hutan di hulu sungai itu untuk pembalakan dan penukaran status tanah pertanian tanpa kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) oleh pihak berwajib.

"Memang kita dapati banyak aktiviti pembalakan melibatkan dusun durian Musang King dan pembukaan tempat peranginan (resort) di sekitar hutan Sungai Telemong. Pembalak hanya akan membawa keluar kayu balak yang berkualiti tinggi dan meninggalkan ranting dan kayu kayan yang dipotong di situ.

"Apabila hujan lebat, semua ini akan dihanyut masuk ke dalam sungai dan akhirnya dibawa arus menyebabkan berlaku musibah menakutkan ini. Oleh itu, pihak bertanggungjawab wajib mencari siapa dalang di sebalik semua ini dengan kadar segera dan menghukum mereka dengan sekeras-kerasnya," tegasnya.

Beliau pernah melakukan lawatan ke kawasan di bahagian hulu sungai di sekitar kawasan Karak, Telemong, Perdak, Lentang dan Bentong, ketika sebelum dan selepas bencana banjir selama beberapa tahun sebelum ini bersama-sama ahli Peka Malaysia.

Dr Shariffa Sabrina turut berpendapat usaha pemberian bantuan banjir hanya langkah sementara dan mendakwa ia bagi meraih populariti golongan tertentu, namun ia tidak sama sekali menyelesaikan isu pokok yang berlaku.

Menurut beliau, apa yang perlu dilaksanakan dengan segera adalah satu pendekatan holistik.

"Jika kita teliti kembali empat fasa pengurusan bencana yang digaris dan dilaksana kerajaan, jelas kesemuanya adalah langkah-langkah mitigasi sahaja selepas kejadian berlaku. Tiada sebarang langkah pengelakan sama sekali oleh pihak kerajaan. Perkara tersebut jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan kurang memberikan penumpuan kepada faktor yang paling penting dalam menangani isu malapetaka alam sekitar akibat intervensi manusia.

"Apatah lagi data statistik dan kajian impak alam sekitar yang ada dan diguna pakai pihak kerajaan dilihat gagal menangani gangguan alam sekitar, malahan mengakibatkan gangguan tidak terkawal kepada alam sekitar sehingga membawa kepada malapetaka. Perkara ini berlaku atas beberapa sebab dan tidak dapat dinafikan kronism dan rasuah sebagai antara penyebabnya," katanya.

Oleh itu, Dr Shariffa Sabrina mencadangkan agar kerajaan melaksanakan moratorium melibatkan aktiviti membalak atau melombong dalam jangka masa melebihi 20 tahun, dengan harapan supaya aktiviti pemuliharaan hutan dapat dijalankan di kawasan terjejas.

Kerajaan Persekutuan juga, kata beliau, wajib meminda Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) di mana 'penjenayah alam sekitar' yang seolah-olah terlindung atau dilindungi oleh suatu kuasa untuk didenda hingga RM1 juta atau penjara sehingga 30 tahun ataupun kedua-duanya.

"Pihak kerajaan seharusnya berpegang kepada konsep keselamatan bawaan (inherent safety) dengan menghentikan atau mengurangkan faktor manusia yang sama ada menyebabkan atau memudaratkan lagi keadaan geologi dan alam sekitar. Perkara ini hanya dapat dicapai dengan penangguhan sementara (moratorium) kepada aktiviti pembalakan serta sebarang aktiviti lain di kawasan sensitif alam sekitar, serta penggubalan Akta 313 tersebut.

"Sekiranya cadangan ini tidak dapat dilaksanakan, kita khuatir kejadian 'tsunami darat' yang boleh berlaku saban tahun atau dua tiga kali setahun seluruh Malaysia akan terus menyebabkan kerajaan kerugian puluhan bilion ringgit, dengan jumlah kerugian terus meningkat," jelasnya.

Menurut Dr Shariffa Sabrina, Peka Malaysia sebelum ini menghantar kertas cadangan menggesa kerajaan meminda Akta Perhutanan 1984 melalui perarakan anjuran pertubuhan itu pada 18 Julai 2019 ke Parlimen, yang turut disertai pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan dan komuniti Orang Asal.

Antara cadangan ialah supaya pindaan dilakukan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 bertujuan mencegah pengambilan hasil hutan secara haram di kawasan Hutan Simpanan Kekal di seluruh negara.

Sementara itu, Mufti negeri Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam temu bual dengan Bernama Radio baru-baru ini menegur pihak terbabit yang dengan sengaja melakukan kerosakan alam sekitar terutamanya aktiviti pembalakan tidak terkawal.

Katanya, pihak terbabit perlu ada tanggungjawab dan sentiasa koreksi tindakannya kerana alam sekitar dihuni secara bersama manusia dan makhluk lain.

"Takutlah dengan amaran Allah seperti disebutkan dalam banyak hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan, sesiapa yang merosakkan tumbuhan yang menjadi teduhan orang ramai atau haiwan, maka Allah akan merendahkan atau merendamkan kepalanya dalam neraka.

"Hadis yang memberikan amaran dahsyat menunjukkan perbuatan yang dilarang tersebut termasuk al-Kabair iaitu dosa besar. Golongan yang memotong pokok sehingga manusia hilang tempat tinggal layak menerima laknat manusia dan kelaknatan itu akan menimpa mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 6:15 AM