GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 49 kes baharu varian Omicron di Malaysia sehingga semalam.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, 45 kes baharu varian itu dikesan susulan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 145 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 15 Disember sehingga Selasa lalu yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Menurutnya, ujian dalam tempoh sama juga dijalankan Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-Unimas) seterusnya mengesan empat kes varian Omicron.

"Jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di Malaysia kini adalah 62 kes.

"Dari jumlah ini, 61 kes jangkitan import dari luar negara manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki berkemungkinan jangkitan tempatan," katanya, hari ini.

Khairy berkata, 30 kes varian Omicron adalah warganegara Malaysia yang tiba dari Arab Saudi bermula 13 Disember hingga 17 Disember lalu.

Katanya, kes selebihnya adalah ketibaan dari luar negara membabitkan United Kingdom, Qatar, Amerika Syarikat, Nigeria, Turki, Itali, Ghana dan Emeriah Arab Bersatu.

Beliau berkata, berikutan risiko penularan varian Omicron di seluruh dunia serta pengesanan varian itu Omicron di Malaysia, KKM bersama agensi lain sudah mengambil tindakan memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan yang berisiko tinggi.

"Mulai Rabu lalu, Kerajaan Sarawak juga memperkukuhkan kawalan pintu masuk antarabangsa dengan mewajibkan semua pengembara dari luar negara dikuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa yang pertama di Malaysia sebelum dibenarkan untuk memasuki Sarawak atau meneruskan perjalanan.

"Pengembara jugawajib memiliki keputusan RT- PCR yang negatif sebelum diberi pelepasan dari kuarantin," katanya.

Tambahnya, empat makmal hospital di Semenanjung mempunyai kapasiti untuk menjalankan saringan varian iaitu Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; Hospital Sungai Buloh; dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Katanya, empat lagi hospital di Sarawak juga sudah memperkukuhkan kapasiti makmal dengan menjalankan saringan varian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 10:35 AM