FOTO AFP
FOTO AFP
Amir Mamat


Melaka: Wanita berusia 34 tahun menjadi individu pertama dari negeri ini dijangkiti varian membimbangkan (VOC), Omicron.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh ketika mengesahkannya berkata, jangkitan varian ke atas wanita berkenaan direkodkan selepas pulang daripada mengerjakan umrah baru-baru ini.

Menurutnya, kes pertama varian itu dikesan selepas pengesahan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 25 Disember lalu menerusi ujian jujukan genom yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap wanita itu.

"Wanita terbabit pulang dari Arab Saudi dari Jeddah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz dengan menaiki pesawat Saudi Airlines dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Disember lalu, 9.50 malam.

"Ujian swab Covid-19 dilakukan di KLIA ketika semasa ketibaannya sebelum bergerak pulang ke Melaka menaiki van persiaran sewaan khas ejen umrah," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, wanita itu disahkan positif Covid-19 varian Omicron semalam dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Melaka untuk tujuan pemantauan rapi.

Susulan itu, katanya, wanita terbabit juga sudah dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bukit Serindit di sini, dan dibenarkan untuk menjalani isolasi di rumah kerana dia berstatus kategori satu (tidak bergejala) dan dalam keadaan stabil.

"Hasil siasatan awal mendapati terdapat sembilan kontak rapat iaitu lapan dalam kalangan ahli keluarganya, masing-masing enam berada di Melaka dan dua di Kuala Lumpur yang mengerjakan umrah bersamanya tempoh hari," katanya.

Dalam pada itu, seorang kontak kasual wanita turut dikesan iaitu pemandu van ejen umrah berkenaan.

Dr Muhamad Akmal berkata, semua kontak rapat terbabit sudah diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama 14 hari dan ujian swab Covid-19.

Katanya, JKN Melaka masih menjalankan siasatan terperinci terhadap kes varian Omicron yang mula dikesan di negeri ini.

"Siasatan terhadap kontak rapat wanita itu termasuk jemaah umrah yang mengerjakan ibadah itu bersama juga masih diteruskan," katanya.

Orang ramai diminta supaya merujuk kepada kenyataan rasmi KKM dan JKN Melaka untuk sebarang berita perkembangan kes Omicron.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 3:28 PM