ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari pemandu lori yang lemas. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari pemandu lori yang lemas. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Seorang pemandu lori yang cuba menyelamatkan diri selepas kenderaannya ditenggelami air di laluan berhampiran simpang Desa Coalfields, di sini, ditemukan lemas, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan lapan pegawai dan anggota, dua jentera serta sebuah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan BBP Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.50 pagi.

"Menurut laporan awal, seorang lelaki dipercayai lemas dalam usaha menyelamatkan diri selepas lori dinaiki ditenggelami air secara tiba-tiba.

"Kita kemudian melakukan operasi pencarian di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa ditemukan meninggal dunia pada 5.10 petang tadi.

"Mangsa ditemukan pada jarak lima meter dari lokasi dia dilaporkan tenggelam.

"Pada waktu itu, paras air di tempat kejadian setinggi kira-kira 1.2 meter. Laluan di kawasan itu juga dilanda banjir dan hampir menenggelamkan lori terbabit.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan sudah meninggal dunia," katanya.

Menurut Norazam, mayat diserahkan kepada polis pada 5.30 petang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

"Siasatan mendapati mangsa tidak terbabit kemalangan, sebaliknya disahkan meninggal dunia akibat lemas.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 9:30 PM