ANTARA kenderaan yang dihanyutkan air, kelmarin ketika tinjauan di kawasan terjejas banjir di Hulu Langat.
ANTARA kenderaan yang dihanyutkan air, kelmarin ketika tinjauan di kawasan terjejas banjir di Hulu Langat.
Ruwaida Md Zain dan Roselan Ab Malek


Kuala Lumpur: Hujung minggu lalu bakal dikenang rakyat Malaysia sebagai hari paling pilu menjelang pengakhiran tahun 2021.

Hujan lebat yang berterusan selama 24 jam bukan hanya memburukkan banjir di tiga negeri di pantai timur, bahkan melumpuhkan Lembah Klang terutama Shah Alam dan Klang.

Lebih tragis apabila bencana itu menyebabkan 14 terkorban setakat ini termasuk tujuh mangsa yang disahkan di Selangor, semalam dan tujuh individu lagi ditemui di Kuantan dan Bentong, Pahang.

Pahang mencatat korban pertama banjir pada Jumaat lalu, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih digerakkan bagi mengesan lima individu yang hilang iaitu empat orang di Bentong dan seorang yang dikenali Mohd Firdaus Supiardi, 26, yang dikatakan terjun ke Sungai Belat, kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, tujuh mangsa meninggal dunia dan seorang lagi masih hilang di Sungai Pinang, Klang sejak Sabtu lalu.

Menurutnya, tiga mangsa ditemukan lemas manakala seorang lagi ditemukan di ruang atas sebuah rumah di sekitar Taman Seri Muda yang terjejas akibat banjir.

"Anggota bomba menemukan mangsa pertama lemas pada Sabtu lalu, dua lagi mangsa ditemui semalam (kelmarin) Taman Sri Muda.

"Mangsa ditemukan di sebuah rumah hari ini (semalam) adalah seorang wanita berusia 40 tahun dipercayai warga Indonesia," katanya ketika sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana Bomba Seri Muda di Shah Alam, semalam.

Selain empat mayat di kawasan Taman Sri Muda, Norazam berkata, anggotanya turut menemukan dua mangsa dipercayai lemas di Dengkil, Sepang yang identitinya masih belum dikenal pasti manakala mayat pemandu treler ditemukan di Desa Coalfields, Kuala Selangor kelmarin.

DUA buah kampung, Guchil 5 dan Guchil 6  ditenggelami air sedalam hampir dua meter sejak empat hari lalu.
DUA buah kampung, Guchil 5 dan Guchil 6 ditenggelami air sedalam hampir dua meter sejak empat hari lalu.

Di Pahang, SAR menemui mayat Mohd Halmi Nazlan, 34, yang hilang selepas meredah banjir di Kampung Cempaka, pada jam 7.15 pagi semalam.

Manakala, Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, tiga individu yang hanyut dalam lima kenderaan di atas Jambatan Telemong, Bentong pada Sabtu lalu ditemui bermula jam 1.17 tengah hari.

"Operasi hari ini (semalam) menemui mangsa wanita pertama pada 1.17 tengah hari kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi kejadian, manakala mangsa kedua juga wanita pada 1.38 tengah hari berjarak 1.1 km dari lokasi.

"Mangsa ketiga iaitu lelaki ditemui pada jam 2.07 petang pada dengan jarak 1.2 km dari lokasi kejadian," katanya yang memberitahu 32 anggota bomba terbabit SAR berkenaan.

Sebelum itu, seorang daripada mangsa tragedi itu ditemukan lemas pada hari kejadian, manakala 10 mangsa terselamat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan satu lagi mayat tragedi banjir di Telemong dijumpai pada jam 4.23 petang menjadikan seorang sahaja lagi yang masih hilang.

Dalam tragedi itu lima kenderaan dinaiki semua mangsa terperangkap selepas paras air naik mendadak.

SAR juga masih diteruskan bagi mengesan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak hilang di sebuah chalet di Bentong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 9:28 AM