DENZEL terlupa membawa cermin mata mengakibatkan dia tidak boleh membaca ucapan terima kasih untuk beberapa individu yang disenaraikan.
DENZEL terlupa membawa cermin mata mengakibatkan dia tidak boleh membaca ucapan terima kasih untuk beberapa individu yang disenaraikan.
Susunan Georgie Joseph


Selain kemenangan filem The Reverant dan pelakonnya Leonardo DiCaprio yang menggondol trofi Aktor Terbaik, Anugerah Golden Globe ke-37 turut panas dengan beberapa isu.

Berlangsung di Beverly Hills, Amerika Syarikat, kelmarin, sesetengahnya manis untuk dikenang dan selebihnya tidak.

Kemenangan penyanyi Lady Gaga sebagai Aktres Terbaik kategori TV untuk siri American Horror Story: Hotel mengundang paling banyak perdebatan.

Pada awalnya, The Hollywood Foreign Press mengakui pencalonannya hanya sekadar ‘meminjam’ kuasa populariti Lady Gaga.

Bagaimanapun, kemenangan akhirnya berpihak kepada penyanyi lagu Applause itu dan ramai menyifatkannya mengarut dan tidak berbaloi.

Malah, dia dengan penuh yakin membandingkan momen itu seperti Cher menang Oscar tidak lama dulu.

Lady Gaga seakan-akan menyatakan lakonannya hebat walaupun peranannya dalam siri berkenaan sekadar tampil cantik.

Kemenangan Lady Gaga turut menjadi bahan sebutan utama di Facebook.

Selain itu, pentas di The Beverly Hilton turut bertukar janggal sewaktu pelakon Jamie Foxx menjadi penyampai Skor Asli Terbaik apabila skor pilihannya, Straight Outta Compton tidak dicalonkan.

Bukan menyebut nama pemenang sebaliknya dia berkata, “Pemenangnya adalah Straight Outta Compton,” sekali gus membuatkan penonton terlopong.

Kategori itu sepatutnya dimenangi skor The Hateful Eight yang dihasilkan Ennio Morricone. Bagaimanapun, Jamie sekadar menunjukkan kepada penonton kad keputusan nama pemenang itu.

Dengan reputasinya yang semakin meningkat ketika ini, calon untuk dua trofi Oscar, Jonah Hill pula bertindak memalukan dirinya di pentas.

Insiden itu berlaku sewaktu dia dan pelakon Channing Tatum tampil sebagai penyampai anugerah.

Jonah mengejutkan semua dengan mengenakan pakaian berupa beruang seperti wataknya dalam The Reverant.

Lebih menjengkelkan, setiap saatnya di pentas dihabiskan dengan membuat bunyi-bunyian serta mimik muka yang tidak sepatutnya.

Demikian juga insiden apabila Denzel Washington dianugerahkan trofi Cecil B DeMille khas untuk sumbangan luar biasanya dalam lakon layar.

Semua tersentuh apabila sebuah tayangan video pendek rangkuman karier seninya dipertontonkan.

Dia adalah ikon, pelopor dan Denzel membuka mata ramai sehingga pelakon Afrika-Amerika mendapat tempat.

Malang sekali, dia tidak dapat membaca senarai individu yang dia perlu berterima kasih gara-gara tidak membawa cermin mata. Isterinya, Pauletta juga tidak dapat membantunya kerana dia juga terlupa membawa cermin matanya.

Bagaimanpun, antara momen terbaik yang semestinya mencipta kenangan terindah ialah ketika pelakon aksi popular Sylvester Stallone menerima trofinya Persembahan Terbaik Pelakon Pembantu menerusi wataknya dalam Creed.

Melakonkan watak Rocky Balboa, pasti ramai kini tidak meragui peluangnya cerah di Oscar berdasarkan ‘standing ovation’ yang diberikan penonton. Ia umpama sebuah kejutan yang sangat membuka-mata bahawa dia masih berbisa.

Juga cukup mencuit hati, calon untuk kategori Aktor Komedi Terbaik iaitu Anzari sempat melakukan satu improvisasi tatkala senarai calon diumumkan. Dia berpura-pura membaca sebuah buku yang berjudul Losing to Jeffrey Tambor With Dignity.

Untuk kategori terbabit, dia sebenarnya tewas kepada pemenang yang tidak disangka iaitu Gael Garcia Bernal menerusi filem Mozart in the Jungle.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2016 @ 11:01 AM