ISMA Halil Hamzah
ISMA Halil Hamzah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyampai radio dan pengasas Bapakku FM, Isma Halil Hamzah meminta peminat terus menyokong dan bersabar berikutan kehilangannya menggalas tugas untuk ke udara menghiburkan pendengar.

Menerusi nota ringkas dikirim kepada peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain, Isma yang difahamkan kini berada di Penjara Sungai Buloh turut meminta maaf terhadap apa yang sudah berlaku.

 "Terima kasih kepada semua sahabat yang saya ada. Dan saya sihat adanya di Sungai Buloh ini. Demi Allah, saya tidak seperti berita negatif yang terfitnah kepada saya. 

"Maafkan saya sebab tidak ke udara lagi. Sabarlah semua sahabat. Berpisah adalah untuk bertemu lagi. Terima kasih kerana menyokong saya," katanya.

 Nota ringkas ini diberikan Isma Halil kepada Ahmad Zaharil Muhaiyar dan Adi Zulkarnain semasa kedua-dua mereka bertemu dengannya, kelmarin. 

Terdahulu, Isma ditahan reman di Penjara Sungai Buloh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Ahmad Zaharil pula berkata, Isma baharu dituduh dan belum lagi dibicarakan mahupun disabit kesalahan lagi untuk pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. 

"Berikutan itu, saya mohon semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi lagi selepas ini.

"Untuk makluman semua, sebutan di Mahkamah Majistret Jalan Duta ditetapkan pada 15 Disember ini untuk laporan Jabatan Kimia. 

"Jika laporan itu sudah siap, maka kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan (kes ini hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi sahaja)," katanya 

Berita berkenaan Isma Halil terkait penyalahgunaan barangan terlarang mula diperkatakan pada September lalu berikutan tersebar dakwaan mengenai seorang penyampai radio ditahan pihak polis selepas didapati memiliki dadah jenis ganja.

Menurut laporan pihak polis, suspek ditahan di kediamannya di ibu kota kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 447.44 gram yang sudah diasing-asingkan kepada 22 paket plastik. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 7:44 PM