NABILA akui cekal hati hadapi kecaman.
NABILA akui cekal hati hadapi kecaman.
Norhayati Nordin


NABILA Razali, 29, boleh dikata antara bintang dari Akademi Fantasia (AF) yang berjaya menempa nama dalam industri hiburan tanah air. Meski perjalanan awalnya agak berliku, namun wanita kelahiran Selangor ini nyata agak bertuah.

Malah, biarpun dirinya hingga kini terus mendapat kritikan dan kecaman daripada segelintir warga maya, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali seakan 'kebal' berhadapan dengan situasi itu.

Ditanya apakah yang membuatkannya begitu cekal hati, penyanyi lagu Cemburu, Pematah Hati dan Peluang Kedua ini berkata, dia jadi kuat dengan berpegang kepada niat utama menceburi kerjaya seni untuk mencari rezeki buat keluarga.

"Tapi, pada masa sama saya juga sebenarnya membuat kerja yang saya suka dan minat. Apatah lagi, saya memang minat menyanyi dari kecil dan hendak jadi penyanyi untuk hiburkan peminat-peminat yang menyokong saya.

"Sama ada, mereka juga mungkin peminat yang baharu nak kenal dan mendengar lagu-lagu saya, ia sudah membuatkan saya bersyukur sangat- sangat. Ini kerana saya rasa apabila ada orang bercakap mengenai kita, sedikit sebanyak dia sudah pun mendoakan kita.

"Malah, sekiranya ada pula orang yang mengecam, saya melihat itu sebagai cara mereka untuk bersikap prihatin kepada kita dan hendak kita perbetulkan apa yang salah. Jadi, sebagai manusia biasa saya akui memang ada banyak kekurangan dan kelemahan diri sendiri," katanya lagi.

Menurut Nabila, dia gemar mengambil kritikan yang dilemparkan kepadanya sekalipun agak pedas sebagai usaha dan tindakan untuk menambaik baik kemampuan bakat diri agar menjadi lebih mantap. Katanya, dia selesa bersikap berlapang dada dan positif.

Mengulas juga dirinya yang pernah didakwa tidak boleh menyanyi serta dibandingkan dengan penyanyi lain, Nabila yang turut dikenali sebagai pelakon berkata dia sentiasa yakin pada rezeki.

'Kalau ada yang bandingkan saya dengan penyanyi lain, percayalah bahawa rezeki daripada Allah buat hambaNya tidak pernah salah alamat. Oleh itu, saya sentiasa cuba menggalasnya sebaik mungkin.

"Saya percaya dengan tanggungjawab yang sudah diberikan ini (bergelar insan seni) haruslah sedia digalas dengan ikhlas. Ditambah lagi, apabila bidang kerjaya ini adalah impian saya sejak kecil. Jadi, sudah tugas saya untuk buat bersungguh- sungguh dan menyanyi untuk hiburkan peminat-peminat.

"Sejujurnya untuk sesuatu perbandingan yang wujud itu, ia tidak berlaku kepada saya yang menjadi penyanyi saja, tetapi senario sebegini wujud juga di dalam bidang kerjaya lain. Untuk saya hadapinya, sentiasalah jadi diri sendiri di dalam konteks yang lebih baik.

"Oleh itu, saya selalu sedar apabila terbuat silap, pasti akan ada orang yang sentiasa menegur kekhilafan itu di sosial media dan biasanya saya pula akan teliti semula dan bertindak memperbaiki diri," katanya.

FOKUS nyanyian, Nabila hadir dengan single Putus.
FOKUS nyanyian, Nabila hadir dengan single Putus.

Nabila berkata, sebagai contoh dia pernah dikaitkan tidak boleh menyanyi dengan baik, maka memang wajar untuknya pergi ke kelas vokal dan bertanya juga pandangan orang lain. Ujarnya, apapun ambil saja yang positif terhadap setiap perbandingan itu untuk jadikannya teladan lebih baik pada masa akan datang.

Berbicara juga mengenai kedatangan tahun 2022 tidak lama lagi, Nabila berkata begitu pantas masa berlalu walaupun Covid-19 tidak menunjukkan tanda akan berakhir. Katanya, tahun ini sedikit sebanyak pendapatannya dalam kerjaya seni turut terjejas.

Namun, ujarnya dia masih bernasib baik kerana mampu mencari rezeki di platform media sosial seperti Instagram dengan membuat 'review' produk. Nabila berkata, dalam mencari rezeki ini kuncinya kena cekal berusaha dan sentiasa bersyukur.

Single Putus

Seakan menyepi seketika dari nyanyian kerana masalah peti suara dihidapi, Nabila bagaimanapun bersyukur kini dia tampil dengan single baharu berjudul Putus, hasil ciptaan komposer dari Singapura, manakala lirik serta susunan lagu dilakukannya sendiri.

"Alhamdulillah, rezeki saya masih ada lagi di dalam bidang muzik ini dengan kehadiran single Putus sangat bermakna. Ditambah, lebih istimewa apabila lirik lagunya saya yang tulis, termasuk susunan muzik pun daripada saya sendiri.

"Syukur tidak terhingga saya titipkan ke hadrat Yang Esa apabila kebanyakan lagu-lagu yang saya nyanyikan hingga kini disukai ramai dan mendapat sambutan positif daripada pendengar. Begitu juga dengan single Putus ini, alhamdulillah diterima baik," katanya.

Mengulas bidang lakonan, Nabila berkata dia baharu saja selesai menyiapkan penggambaran telefilem Rombongan Cik Kiah Ke AJL, iaitu sebuah karya komedi dan baginya sangat kelakar.

"Saya tak sabar nak tengok penerimaan penonton untuk telefilem ini. Jalan ceritanya amat menarik dan dibarisi juga pelakon hebat tanah air seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Naim Daniel, Rozie Othman, Usop dan ramai lagi.

"Malah, buat masa ini saya nak fokus pada nyanyian dan lakonan saja. Tetapi, lebih utama kepada nyanyian. Saya juga tidak terfikir untuk mencuba bidang pengacaraan lagi," katanya.

Apapun, Nabila berkata dia kini sudah mula terbabit dengan beberapa bisnes. Katanya, tidak lama lagi dia akan melancarkan pula produk bisnes baharu dalam makanan iaitu ayam gunting dan beharap ia mendapat sambutan baik orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 6:00 AM