Najiy Jefri

KEJAYAAN penyanyi muda Azzam Sham yang muncul juara program realiti popular Big Stage tahun lalu mengubah laluan kerjaya seninya sebagai penyanyi.

Siapa sangka, jejaka kacak berusia 24 tahun itu kini mampu menarik nafas lega apabila kehadirannya semakin diterima baik peminat muzik tempatan.

Azzam berkata, dia bersyukur dengan situasi itu lebih-lebih selepas kemunculan single terbaharu Cinta Jangan Pergi yang kini menerima tontonan hampir 1 juta di YouTube.

"Single Cinta Jangan Pergi ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya menerima sambutan yang amat baik. Jujur saya katakan, penyertaan dalam Big Stage ternyata membawa saya ke satu dimensi baharu yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

"Bermula dari situ, banyak pengalaman dan perspektif yang lebih positif saya timba bagi menguatkan semangat untuk terus berjuang dan kekal relevan dalam bidang seni," katanya.

Menurut Azzam, dia pernah terdetik rasa putus asa dalam hidup dan ingin menyerah kalah untuk membabitkan diri dalam dunia seni.

AZZAM hampir putus asa sebagai penyanyi.
AZZAM hampir putus asa sebagai penyanyi.

Katanya, melihat keadaan dirinya yang seakan diabaikan serta tidak dipeduli membuatkan dia ingin berhenti menyanyi.

Bagaimanapun, sokongan daripada peminat ketika dia mula menceburi bidang nyanyian menerusi pertandingan Idola Kecil seawal usia 12 tahun memberi kekuatan kepada dirinya.

"Pernah ada satu ketika saya hampir menyerah kalah dalam bidang seni. Saya berasa diri saya seakan-akan tidak dipeduli, malah lagu-lagu yang diketengahkan tidak menjadi.

"Selain itu, melihat kejayaan penyanyi lain yang turut berada di bawah pengurusan sama turut membuatkan saya berasa 'down'.

"Saya bukan nak pertikai rezeki mereka, cuma saya jadikan ia sebagai satu kekuatan untuk terus berjuang sebab peminat masih nak saya terus aktif dalam bidang ini," katanya.

Jarang terpalit kontroversi buruk barang kali membuatkan nama Azzam seakan tenggelam timbul, namun Azzam memegang prinsip untuk bersih tanpa sebarang kontroversi atau gosip tidak baik.

"Saya seorang yang 'low profile' dan tidak suka nak cipta kontroversi. Saya enggan dicop sebagai artis bermasalah di kemudian hari.

"Saya lebih suka nama saya naik kerana kualiti yang saya ada. Saya nak kejayaan saya disebut disebabkan hasil baik yang saya bawakan dalam industri muzik," katanya.

Bercerita mengenai kisah cintanya dengan penyanyi Sheryl Shazwanie, Azzam berkata, mereka masih berkawan dan hubungan dengan keluarganya juga sudah semakin akrab.

MAKIN rapat dengan keluarga Sheryl Shazwanie.
MAKIN rapat dengan keluarga Sheryl Shazwanie.

"Kami masih berkawan seperti biasa. Tiada apa yang dapat kami kongsikan sekarang ini. Kalau ada berita baik saya akan kongsikan nanti.

"Cuma hubungan saya dengan keluarga Sheryl semakin rapat. Keluarga saya dan Sheryl juga banyak memberi semangat dan sokongan. Doakan yang terbaik buat kami," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azzam berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharu tidak lama lagi.

"Tak lama lagi saya akan keluarkan single terbaharu yang berbeza genre. Kali ini saya akan lancarkan single berentak pop.

"Walaupun saya suka bawakan genre balada tapi saya perlu cuba pelbagai genre untuk cabar diri dan mencuba sesuatu yang baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 6:00 AM