DEMI makanan, kanak-kanak malang Afghanistan ini berusaha melakukan pekerjaan bagi mengisi perut.
DEMI makanan, kanak-kanak malang Afghanistan ini berusaha melakukan pekerjaan bagi mengisi perut.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Herat: Wajah comot berdebu dengan pakaian lusuh tidak dibasuh sekian lama. Ada antaranya sekecil usia empat tahun dan berkeliaran dengan hingus kuning pekat mengalir tidak diseka.

Tiada siapa pedulikan kelibat sekumpulan lebih 10 remaja dan kanak-kanak malang Afghanistan ini yang berkeliaran menagih simpati orang ramai berhampiran Ibu Pejabat Imigresen Islam Qala bersempadan negara Iran itu.

Penulis yang berada di sana semalam mendapati kumpulan remaja dan kanak-kanak lelaki bermata biru ini tidak berputus asa mengekori wartawan serta sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) yang baru menjejakkan kaki di bumi bergolak itu.

Malah ada antara kanak-kanak itu turut menawarkan khidmat mengangkat bagasi dibawa kami menggunakan 'pedati' beroda atau kereta sorong berkarat berada berhampiran.

Salah seorang remaja etnik Pashtun Afghanistan bertubuh kurus jelas tidak putus asa memujuk penulis supaya menggunakan khidmatnya walaupun menyedari saiz beg digalas penulis begitu kecil.

Hampa seketika namun senyuman mesra tetap terukir di bibirnya. Kerdipan bebola matanya berwarna kebiru-biruan masih mengharapkan belas ehsan.

Tidak jauh dari situ, beberapa pejuang Taliban memakai peci, seragam tentera dilengkapi rifel MP4 memerhatikan gerak-geri kami dengan penuh minat.

Penulis lantas mengeluarkan beberapa bungkusan roti dan air mineral sebelum dihulurkan kepada remaja miskin itu. Gembira tidak terkata apabila pemberian itu segera 'disambar' sebelum remaja itu berlari ke arah belakang kontena.

Mungkin dia enggan berkongsi rezeki dengan rakan-rakan lain. Dalam keadaan cuaca sejuk mencecah 5 darjah Celsius, remaja dan kanak-kanak tidak bersekolah lain terus bertahan demi memastikan mereka tidak kebuluran. Penulis cukup simpati, kanak-kanak ini kekurangan nutrisi dan amat memerlukan makanan berkhasiat.

Situasi sama turut dilalui ketika penulis singgah Masjid Jami di bandar Herat di sini, petang semalam. Beberapa kanak-kanak berpakaian kurta lusuh dan koyak muncul sambil membawa berus kasut.

Walaupun penulis tidak memahami bahasa Parsi dituturkan namun jelas mereka mengharapkan sedikit imbuhan dari kerja mengilap kasut dilakukan.

Tiada peralatan khusus dibawa. Hanya berus kasut usang dan sepasang selipar koyak yang akan digunakan pelanggan sementara menunggu kasut mereka digosok tanpa krim pengilat.

Sekali lagi penulis diserbu sebaik menghulurkan 'sedekah' wang riyals Qatar yang disimpan di dalam dompet. Namun kanak-kanak Afghanistan ini tertib dan berlalu pergi sebaik penulis berjalan melepasi pintu gerbang Masjid Jami berusia lebih 800 tahun itu.

Ternyata bilangan kanak-kanak terbiar dan kelaparan di Afghanistan sukar dibilang. Keadaan pastinya menjadi lebih buruk di kawasan pedalaman negara itu.

Jumlahnya diyakini bertambah susulan kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menghantar bekalan bantuan makanan ke Afghanistan selepas Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan pada pertengahan Ogos lalu.

Situasi ini secara tidak langsung meletakkan nyawa 3.2 juta kanak-kanak di Afghanistan di hujung tanduk.

Malah jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Margaret Harris dipetik berkata, pihaknya menganggarkan sejuta kanak-kanak ini berisiko meninggal dunia ditambah faktor cuaca sejuk pada waktu malam yang menyaksikan suhu menurun sehingga 1 darjah Celsius.

Lebih memburukkan keadaan apabila kes demam campak turut meningkat di negara berkenaan membabitkan sebanyak 24,000 kes direkodkan setakat ini.

Agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memaklumkan pihaknya memerlukan sehingga AS$220 juta sebulan untuk memberi makanan kepada sebahagian daripada hampir 23 juta rakyat Afghanistan yang memerlukan bantuan ketika musim sejuk hampir tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 7:00 AM