Lebih lima terbunuh dalam serangan terhadap balai polis di Herat. FOTO EPA
Lebih lima terbunuh dalam serangan terhadap balai polis di Herat. FOTO EPA
AFP

HERAT: Beberapa penyerang menyerbu balai polis di barat Afghanistan sebelum membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan dua lagi, semalam.

Menurut pegawai, ia adalah keganasan terbaru mensasarkan pasukan keselamatan di negara berkenaan.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab dalam serangan di Herat berhampiran sempadan Iran itu tetapi Taliban terus meningkatkan serangan ke atas anggota tentera dan polis Afghanistan.

Dua pegawai polis dan tiga penduduk awam termasuk kanak-kanak maut dalam serangan yang berakhir tidak sampai dua jam, kata jurucakap gabenor, Jelani Farhad.

Dua pegawai cedera lain dengan dua penyerang terbunuh dalam kejadian itu.

Pasukan khas polis dikerah ke tempat kejadian, kata jurucakap Kementerian Dalam negeri, Najib Danish.

Keganasan terbaru itu menyusul gelombang serangan dilakukan Taliban ke atas pasukan tentera Afghanistan.

Pertumpahan darah itu berlaku ketika wakil damai Amerika Syarikat, Zalmay Khalilzad melawat ke wilayah itu untuk mengadakan pertemuan bertujuan menamatkan perang di negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 2:37 PM