MAHJABIN Hakimi
MAHJABIN Hakimi
Agensi

Kabul: Keluarga kepada atlet bola tampar pasukan remaja perempuan Afghanistan, Mahjabin Hakimi menafikan laporan bahawa wanita itu dipenggal oleh Taliban.

Terdahulu, jurulatih Mahjabin mendakwa wanita itu dibunuh dan gambarnya disebarkan di media sosial, lapor The Sun.

Dakwaannya itu kemudian dipetik oleh laman web Persian Independent dan kemudian ia disiarkan oleh beberapa media Barat.

Salah seorang daripada ahli pasukan Mahjabin, yang melarikan diri dari Afghanistan ke United Kingdom, sebelum ini memberitahu BBC, seorang ahli pasukannya dibunuh oleh Taliban.

Tetapi, kini ahli keluarganya menafikan laporan bahawa Mahjabin dibunuh Taliban, namun sebab kematian wanita itu masih tidak diketahui.

Salah seorang ahli keluarga memberitahu laman web, Alt News bahawa mangsa sebenarnya meninggal dunia pada 6 Ogos.

Ahli keluarga juga berkongsi gambar batu nisan pada kubur Mahjabin dengan tarikh kematian pada batu berkenaan.

Abangnya, Skandar Hakimi menukar profil Facebook kepada bulatan gelap pada 7 Ogos dan menerusi komen, seorang menyatakan mendoakan mangsa.

Rakan kepada Mahjabin juga memuat naik gambar Mahjabin pada 9 Ogos dan merakamkan ucapan takziah atas pemergian mangsa.

Gambar mayat Mahjabin sebelum ini tersiar di media sosial, tetapi ia juga tidak menunjukkan bahawa bahawa mangsa dipenggal.

Dalam pada itu, wartawan India Deepa K Parent menerusi Twitter berkata, beliau juga sudah bercakap dengan keluarga Mahjabin dan memuat turun dan memadamkan ciapan mengenai kematian mangsa kerana 'laporan tidak tepat'.

Mahjabin bermain dengan Kelab Bola Tampar Perbandaran Kabul sebelum taliban mengambil alih kuasa pada akhir Ogos.

Pada September, pemain daripada pasukan kebangsaan Afghanistan mendakwa mereka menyembunyikan diri daripada pejuang Taliban.

Terdahulu, beberapa media termasuk New York Post melaporkan wanita itu mati dibunuh dengan dipenggal oleh Taliban.

Bagaimanapun, sehingga kini, Taliban masih belum memberikan sebarang kenyataan.

Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB) memberitahu Inside The Games, pihaknya mengambil maklum laporan berkenaan dan sedang mendapatkan pengesahan segera isu terbabit.

Berita berkaitan

Atlet maut dipenggal

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 9:47 AM