ANGGOTA pasukan keselamatan Taliban dilihat melakukan rondaan di sekitar kawasan tumpuan  selepas mereka mengambil alih kerajaan Afghanistan menyebabkan negara itu kini kembali menjadi perhatian dunia.
ANGGOTA pasukan keselamatan Taliban dilihat melakukan rondaan di sekitar kawasan tumpuan selepas mereka mengambil alih kerajaan Afghanistan menyebabkan negara itu kini kembali menjadi perhatian dunia.
Syah Rul Aswari Abdullah

SUKA atau tidak, sejarah kembali berulang. Taliban kini adalah kerajaan yang memerintah Afghanistan.

Dua hari selepas kembali berkuasa, Taliban menyatakan janji-janjinya untuk tidak akan mengulangi amalan ketika memerintah negara itu antara 1996-2001.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid pada ketika itu berkata, rejim baharu Taliban kali ini akan sangat berbeza daripada rejim zaman 1996-2001.

Ketika era itu, ia terkenal kerana melaksanakan hukuman rejam dan melarang wanita bekerja dalam persekitaran bersama lelaki.

"Semua yang menentang akan diampuni dari A hingga Z. Kami tidak akan membalas dendam," katanya pada satu sidang media ada 17 Ogos lalu, seperti dilaporkan AFP.

Pengumuman itu dibuat selepas kepulangan pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar ke Afghanistan, selepas digulingkan Amerika Syarikat (AS), hampir 20 tahun lalu.

Zabihullah turut dilaporkan berkata, pihaknya komited untuk membenarkan wanita bekerja, sesuai dengan prinsip Islam.

Namun, baru-baru ini, masyarakat dunia dikejutkan dengan tindakan Taliban yang menembak mati empat individu disyaki penculik dan menggantung mayat penjenayah itu di dataran awam di bandar Herat.

Seorang pegawai tempatan berkata, semua lelaki berkenaan terbunuh dalam pertempuran senjata selepas dituduh menangkap seorang ahli perniagaan dan anak lelakinya untuk dijadikan tebusan.

CNN dalam laporannya pula menyatakan mayat empat individu yang berlumuran darah itu digantung pada kren pembinaan.

Orang awam pula merakam gambar dan video mayat individu berkenaan dengan seorang tertera notis amaran: 'Penculik akan dihukum seperti ini.'

Ia juga dapat disahkan oleh kanak-kanak.

Dalam pada itu, Taliban juga menutup Kementerian Urusan Wanita dan menggantikannya dengan Kementerian Amar Ma'ruf Nahi Munkar.

Frasa dalam Bahasa Arab itu membawa maksud perintah untuk menegakkan yang benar dan melarang yang salah.

Sementara itu, bekas ketua polis agama Taliban, Mullah Nooruddin Turabi yang kini bertanggungjawab terhadap penjara berkata, hukuman 'ekstrem' akan dilaksanakan semula di Afghanistan.

Ketika era pentadbiran lima tahun Taliban sebelum ini, hukuman mati kerap dilaksanakan di khalayak ramai di stadium sukan Kabul atau pekarangan luar Masjid Eid Gah.

CNN dalam satu laporan pula menyatakan polis syariah kembali dilihat di Ghazni, bandar strategik yang terletak di lebuh raya Kabul ke Kandahar.

Namun, kali ini, polis berkenaan dilihat 'lebih mesra' apabila berjabat tangan dengan penduduk dan memperkenalkan diri mereka.

Dalam satu rondaan di kawasan pasar, mereka juga mengumpulkan penjual dan menggalakkan mereka mematuhi undang-undang syariah.

Seorang komander dilaporkan mengingatkan supaya mereka melayan wanita mengikut undang-undang Islam.

Menurut agensi berita antarabangsa itu, Taliban mengarahkan polis syariahnya untuk lebih 'bersederhana.'

Satu buku panduan berwarna biru turut dikeluarkan sebagai panduan kepada anggota dan pegawai ketika menjalankan tugas.

"Kami mengikut undang-undang dan peraturan, tetapi untuk menarik tangan seseorang, memukul, menghantar notis atau mengeluarkan surat amaran, ia bertentangan dengan polisi (negara).

"Jika seseorang melakukannya, ia adalah tindakan individu," kata Mawlavi Abdullah Mohammad, seorang pegawai tinggi Taliban.

Namun, tidak semua pejuang Taliban dikatakan mengikut garis panduan berkenaan. Ia sekali gus menyebabkan ramai yang sangsi sama ada rejim baharu ini berbeza dengan Taliban pada zaman 1996-2001.

Sebelum ini, terdapat laporan bahawa pengusaha kedai gunting rambut di wilayah Helmand akan dihukum kerana mencukur jambang lelaki.

Satu lagi laporan mendakwa seorang lelaki dipukul oleh anggota Taliban kerana cara dia berpakaian seperti 'orang Barat' dan kerana memiliki foto 'tidak wajar' di dalam telefon bimbitnya.

Penulis Penolong Pengarang Berita Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 5:59 AM