SETIAP dron dikatakan mampu membawa sehingga 900 dos vaksin. FOTO Agensi
SETIAP dron dikatakan mampu membawa sehingga 900 dos vaksin. FOTO Agensi
Agensi

New Delhi: India sudah menguji mekanisme penghantaran vaksin menggunakan dron pada 4 Oktober lalu.

Tribunnews melaporkan dron membawa dos vaksin itu diterbangkan dari Bishnupur ke sebuah klinik kesihatan di Pulau Karang yang terletak di tengah Danau Loktak dalam masa 12 minit saja berbanding empat jam jika menggunakan perahu dan jalan darat.

Pakar dan Ketua Epidemiologi di Dewan Penelitian Medik India (ICMR), Dr Panda memberitahu percubaan itu berhasil dan 10 orang di pulau dihuni 3,500 penduduk itu sudah divaksin.

Katanya, Manipur dan Nagaland akan mulai mengangkut vaksin ke kampung terpencil yang biasanya memakan waktu 12 jam melintasi pergunungan dan sungai.

Dron akan digunakan menghantar bekalan vaksin ke kepulauan di India timur, Andaman dan Nikobar yang biasanya mengambil masa lama jika pergi ke situ menggunakan perahu.

"Kami cuba pastikan tiada wabak di wilayah terpencil yang kurang penduduk dengan melaksanakan usaha pemberian vaksin segera.

"Ini kerana jika dijangkiti dan penyakitnya kronik, mereka tiada akses ventilator, perawatan intensif atau oksigen di daerah ini," katanya.

India bertekad memberi suntikan kepada seluruh penduduk yang mendaftar penerima vaksin pada akhir tahun ini.

Bagaimanapun, ia hanya boleh dicapai sekiranya dilakukan dengan kadar segera dan konsisten.

Data rasmi menunjukkan India sudah mengagihkan lebih 925 juta dos vaksin.

Kira-kira 70 peratus dari daftar penerima vaksin sudah disuntik sekurang-kurangnya dengan satu dos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 7:05 AM