Skuad Khas Harian Metro


Rawang: Polis sedang menyiasat dakwaan terdapat individu yang membantu Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat sehingga usahawan kosmetik itu berjaya meloloskan diri ke Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, jika benar terdapat maklumat mengatakan dia dibantu individu bagi membolehkan dirinya berjaya bolos hingga ke Thailand, pihak polis akan menjalankan siasatan.

Menurutnya, siasatan dan maklumat itu nanti juga akan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi menentukan kaedah supaya sempadan tidak mudah dibolosi.

"Kita tidak mahu lagi kejadian yang berlaku kepada Nur Sajat yang berjaya bolos di sempadan negara bolos (berulang) lagi.

"Jadi hasil siasatan dan maklumat itu akan diberi kepada pihak berkuasa di sempadan bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

DATUK Seri Abd Jalil Hassan
DATUK Seri Abd Jalil Hassan

Abd Jalil berkata, walau sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga seperti yang berlaku ke atas Nur Sajat.

"Dia sudah dituduh oleh pihak berkuasa Thailand atas akta imigresen namun dia memohon taraf pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Mereka sedang berusaha membolehkan dia (Nur Sajat) dianggap pelarian di Thailand," katanya.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha bersama pihak Kementerian Luar Negeri dan pejabat Peguam Negara untuk proses membawa pulang Nur Sajat.

"Terpulang kepada pihak berkenaan memberi kuasa kepada kita bagi membolehkan dibawa pulang melalui proses undang-undang Malaysia dan antarabangsa.

"Kita nasihatkan dia kalau dia dengar berita ini kita minta dia pulang dengan cara baik untuk berhadapan kes yang perlu dilaluinya," katanya pada sidang media di bengkel lori digunakan sindiket mencuri lori di sini, hari ini.

Laporan Harian Metro
Laporan Harian Metro

Harian Metro sebelum ini melaporkan, misteri 'kehilangan' usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Untuk rekod, Nur Sajat, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen jam 6 petang (waktu Thailand).

Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Usahawan kosmetik itu bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

Skuad Khas Harian Metro turut mendedahkan, bagaimana penyamaran dilakukan usahawan kosmetik itu yang mengenakan purdah dan niqab serta membayar RM20,000 kepada seorang lelaki untuk diseludup keluar dari Malaysia.

Lelaki terbabit dilaporkan berjaya menyeludup keluar Nur Sajat menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar Perlis, sebelum diserahkan kepada lelaki lain sebaik mereka tiba di Hat Yai, Thailand.

Nur Sajat kemudian dibawa lelaki itu ke Bangkok dan menjadikan sebuah kondominium mewah di kota raya itu sebagai pusat persembunyian sehinggalah dia ditahan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 10:26 AM