NADIYA bersyukur anak seni dalam industri saling membantu ketika pandemik
NADIYA bersyukur anak seni dalam industri saling membantu ketika pandemik
Syafil Syazwan Jefri

Industri seni dan kreatif tanah air masih berdepan dugaan apabila banyak aktiviti penggambaran belum dibolehkan sepenuhnya.

Itu juga secara langsung memberi kesan terhadap pendapatan pekerja seni termasuk pelakon.

Bagi Nadiya Nisaa, situasi pandemik Covid-19 ketika ini sedikit sebanyak menguji kehidupannya terutama daripada segi punca pendapatan.

Namun, dia bersyukur kerana masih dapat mengatur sistem kewangannya dan keluarga, sekali gus banyak membantu dalam memastikan kelangsungan hidup.

"Secara jujurnya, alhamdulillah saya dan keluarga cuba sedaya upaya untuk merancang sistem kewangan kami sebaik mungkin.

"Alhamdulillah dengan wang simpanan yang ada, sedikit sebanyak ia dapat membantu kami meneruskan kehidupan dalam situasi sekarang," katanya.

Namun, dia sendiri juga tidak pasti sampai bila wang simpanannya itu akan bertahan dan sampai bilakah situasi ini akan memberi impak kepada industri seni dan kreatif tanah air.

"Memang saya dah siapkan rangka garis masa untuk sistem kewangan, namun tak pasti sampai bila ia akan bertahan.

"Sama seperti anak seni lain, saya juga menuntut kepastian daripada pihak berwajib bila penggambaran boleh dibenarkan beroperasi sepenuhnya supaya kami boleh siapkan diri.

"Sebagai rakyat bertanggungjawab, saya juga sudah pastikan segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi," katanya.

Berkongsi mengenai SOP Covid-19, Nadiya juga cuba sedaya upaya menggunakan teknologi digital untuk berhubung dengan rakan.

"Saya dah dapat dua dos vaksin Covid-19 dan tak merayau kerana mengikut SOP. Saya dah lama tak jumpa kawan.

"Daripada sudut kreativiti, memang saya sangat terkesan kerana sebelum ini, saya dapat mengekspresikan kreativiti ke dalam lakonan.

"Namun, sekarang saya hanya dapat luahkan kreativiti dan mengekspresikan diri saya melalui gambar di media sosial," katanya.

Pada masa sama, Nadiya juga meluahkan rasa syukur kerana ramai anak seni yang saling membantu antara satu sama lain dalam situasi penuh kesulitan ini.

"Disebabkan pandemik ini, ada yang terkesan terutama kru produksi. Namun, saya bersyukur kerana kita semua yang ada dalam industri ini tak meninggalkan antara satu sama lain.

"Apabila ada saja berita dan khabar mengenai rakan yang memerlukan, kita semua cuba secepat mungkin untuk menghulurkan bantuan menerusi pelbagai platform amal," katanya.

Terbaharu, Nadiya kini membintangi drama bersiri Hawa yang menampilkannya sebagai Kak Long atau Hajah Saadah.

"Dalam drama itu, saya menjadi kakak sulung dalam keluarga yang menjadi tunjang utama cerita ini. Daripada luaran, dia nampak seperti wanita disegani kerana akhlaknya.

"Namun, dalamannya dia sama seperti wanita lain yang turut berdepan dengan isu berkaitan rumah tangga. Lebih menduga dirinya adalah apabila dia mendapat tahu dimadukan," katanya.

Berkongsi mengenai karya arahan Tam Suhaimi itu, Nadiya juga berkongsi mengenai kekuatan watak dan naskhah itu yang berjaya mencuri hatinya.

"Karya ini adalah tulisan Baizura Kahar dan dia adalah idola saya kerana banyak karyanya yang berkualiti.

"Ditambah pula apabila jalan cerita Hawa digarap oleh Tam, itu membuatkan saya terus menerima tawaran untuk berlakon dalam karya ini di samping watak yang kompleks," katanya.

Selain Nadiya, antara yang membintangi drama itu ialah Hamidah Wahab, Ruzana Ibrahim dan Bella Dowanna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:00 AM