KERJASAMA kali pertama Tam dan Zazo secara duet.
KERJASAMA kali pertama Tam dan Zazo secara duet.
Norhayati Nordin

Walaupun penularan Covid-19 di negara ini belum reda, perjalanan industri hiburan tanah air perlu diteruskan menerusi penghasilan karya baharu.

Bagi penyanyi, biarpun kini segala aktiviti persembahan pentas dibatalkan, lagu baharu masih menjadi sandaran utama mereka buat tatapan pendengar.

Sehubungan itu, buat pertama kalinya komposer dan penyanyi senior, Tam Mustafah bergabung suara dengan penyanyi dikenali sebagai Zazo Maulana dalam lagu duet berjudul Kasih Bermula.

Tam yang pernah mencipta kerjaya nyanyian cemerlang bersama kumpulan Spider pada penguhujung era 1990-an nampaknya kini bergerak solo.

Berbicara mengenai kerjasama dengan Zazo, Tam berkata, lagu Kasih Bermula ciptaannya dan lirik ditulis oleh Inuria sesuai dinyanyikan secara duet.

"Lagu ini menceritakan mengenai pasangan bahagia yang mengimbau kembali kisah awal pertemuan mereka sehingga hadirnya bibit cinta di hati.

"Perasaan cinta yang wujud tanpa diduga itu hingga kini sentiasa membuatkan hari-hari dilalui mereka penuh bahagia, bersinar dan disulami kasih sayang," katanya.

Menurut Tam, ilham menghasilkan lagu Kasih Bermula adalah untuk didedikasikan kepada pasangan suami isteri yang juga kenalannya dan Zazo.

"Saya mengenali pasangan sejoli itu. Zazo turut mengenali mereka. Jadi, saya bercadang menciptakan satu karya istimewa buat mereka.

"Saya dapati lagu Kasih Bermula ini sangat sesuai dijadikan sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan buat pasangan berkenaan," katanya.

TAM dan Zazo dedikasi lagu Kasih Bermula kepada kenalan mereka.
TAM dan Zazo dedikasi lagu Kasih Bermula kepada kenalan mereka.

Menurut Tam, dia juga sepakat dengan Zazo untuk mempertaruhkan lagu Kasih Bermula itu sebagai buah tangan terbaharu mereka dalam industri muzik.

Zazo yang sudah lima tahun aktif dalam muzik menerusi genre rock 'western classical' berkata, lagu itu adalah karya pertama taruhannya di bawah edaran Map Music.

"Saya menceburi kerjaya seni kerana minat dan demi merealisasikan impian serta harapan untuk meneruskan legasi ibu bapa.

"Allahyarham ibu, Noriah Abdullah adalah pelakon pada era 1980-an dan arwah juga pernah dicalon kategori Pelakon Wanita Paling Popular. Antara filem lakonan ibu ialah Abang dan Pendekar Semutar Hitam. Selain berlakon, ibu juga penyanyi yang bagus. Bapa saya Zolkeply Maulana pula seorang pelukis yang pernah melakukan kerja baik pulih Tugu Negara termasuk beberapa muzium tanah air serta menghasilkan mural Hang Tuah," katanya.

Menurut Zazo, dilahirkan dalam keluarga berdarah seni pastinya dia tidak mahu mensia-siakan anugerah dimiliki.

Katanya, kejayaan tidak datang bergolek dan dia akan terus berusaha hingga berjaya.

Paduan vokal Tam dan Zazo dalam lagu Kasih Bermula kini boleh diperdengarkan orang ramai di semua platform digital muzik sejak 28 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:32 AM