AL-SULTAN Abdullah menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini. FOTO ISTANA NEGARA
AL-SULTAN Abdullah menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini. FOTO ISTANA NEGARA
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pengumuman paling dinanti-nanti orang ramai berhubung pembentukan barisan Kabinet baharu Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dilakukan esok.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan, pengumuman itu akan berlangsung pada 11 pagi.

"Majlis angkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan akan berlangsung pada 2.30 petang, Isnin ini," katanya hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang, hari ini.

Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook (FB) rasmi berkata, pada sesi menghadap yang berlangsung selama satu jam 30 minit bermula 11 pagi itu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu daripada Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021 lalu.

Menurut kenyataan itu, sesi menghadap hari ini adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 5:52 PM