Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ahli parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara berperingkat hari ini.

Bas di sewa khas yang membawa sebahagian daripada mereka dilihat mula memasuki Pintu 2 Istana Negara pada 10.37 pagi hari ini.

Kumpulan pertama Ahli Parlimen yang ke Istana Negara hari ini adalah Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Khairy Jamaluddin (Rembau) yang bertolak dari Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 10.30 pagi ini.

Bas kedua yang membawa Ahli Parlimen Bersatu turut dilihat memasuki Istana Negara kira-kira 10 minit kemudian.

Mereka sempat melambai kepada petugas media yang membuat liputan di pintu masuk berkenaan sejak awal pagi.

Ahli Parlimen berkenaan dilaporkan diminta hadir ke Istana Negara untuk mengesahkan sokongan kepada calon Perdana Menteri kesembilan.

Al-Sultan Abdullah (tengah) bersama Raja-Raja Melayu pada Perbincangan Khas di Istana Negara, hari ini. FOTO Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah (tengah) bersama Raja-Raja Melayu pada Perbincangan Khas di Istana Negara, hari ini. FOTO Istana Negara.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Istana Negara sudah menghantar jemputan kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri supaya hadir untuk membuat pengesahan.

Beliau menyatakan kesemua Ahli Parlimen itu akan menaiki bas sewa khas dari WTC mulai 10 pagi hingga 4 petang.

Semua Ahli Parlimen itu akan dipecahkan kepada lima waktu berbeza iaitu 10 pagi, 11.10 pagi, 2 petang, 3.10 petang dan 4.20 petang.

Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen ketika dihubungi mengesahkan akan hadir mengikut waktu ditetapkan.

Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, beliau akan hadir ke Istana Negara pada 2 petang.

Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman pula berkata, beliau dan rakan-rakan daripada Pas akan ke Istana Negara bagi sesi 4.20 petang.

Semalam, Harian Metro melaporkan nama Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam senarai akhir untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Ia susulan peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinet pada 16 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 10:55 AM