Juwan Riduan

Beaufort: Sebanyak enam rumah di kawasan hutan belakang Taman Sri Arjuna, di sini, yang menjadi lokasi serangan hendap pengganas Abu Sayyaf terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimusnahkan, hari ini.

Operasi khas pemusnahan membabitkan 60 anggota dan pegawai itu dijalankan PDRM dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), kira-kira 10 pagi.

Tindakan merobohkan dan membakar rumah berkenaan diambil bagi mengelakkan ia didirikan semula dan menjadi sarang penempatan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, keputusan merobohkan penempatan kumpulan pengganas berkenaan dibuat dalam mesyuarat membabitkan semua agensi ini, semalam.

Katanya, operasi pertama hari ini hanya membabitkan enam rumah di lokasi pertama (Point A) manakala lokasi kedua (Point B) terpaksa ditangguhkan berikutan kawasan berkenaan dilanda banjir.

"Operasi pemusnahan di lokasi Point A akan membabitkan 30 rumah yang berada kira-kira 300 meter daripada lokasi Point B.

"Tindakan merobohkan sebelum membakar rumah-rumah yang dijadikan sarang pengganas ini adalah usaha menghapuskan kehadiran mereka di daerah ini," katanya ketika ditemui selepas operasi pemusnahan rumah setinggan, hari ini.

RUMAH yang dijadikan tempat sembunyi kumpulan Abu Sayyaf dimusnahkan. FOTO Juwan Riduan
RUMAH yang dijadikan tempat sembunyi kumpulan Abu Sayyaf dimusnahkan. FOTO Juwan Riduan

Yusoff Zaki berkata, tindakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort tidak akan terhenti di sini dan gerakan mengesan saki baki ahli kumpulan berkenaan masih diteruskan.

"Semua anggota dan pegawai sudah dikerah untuk memasuki kawasan setinggan lain bagi memastikan tiada lagi kehadiran kumpulan pengganas di daerah ini.

Sementara itu, Yusoff Zaki menafikan beberapa kenyataan yang tular di media sosial kononnya daerah Beaufort tidak selamat berikutan insiden minggu lalu.

Katanya, sebagai ketua polis daerah, beliau memberi jaminan keadaan di daerah ini selamat dan aktiviti hariannya beroperasi seperti biasa.

"Khabar angin berkenaan tidak boleh dipercayai malah keadaan aktiviti di daerah ini berjalan seperti biasa.

"Tiada isu keselamatan di daerah Beaufort. Pihak berkuasa juga sentiasa bersiap sedia sepanjang masa bagi memastikan keadaan selamat," katanya.

Bagaimanapun katanya, masyarakat diminta supaya tampil menyalurkan sebarang maklumat sekiranya berlaku sebarang pergerakan luar biasa untuk tindakan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 1:44 PM