APANDI menjual pakaian terpakai di TikTok sebagai ikhtiar mencari pendapatan kerana terputus mata pencarian akibat pandemik Covid-19. FOTO Ihsan Apandi Abd Rashid
APANDI menjual pakaian terpakai di TikTok sebagai ikhtiar mencari pendapatan kerana terputus mata pencarian akibat pandemik Covid-19. FOTO Ihsan Apandi Abd Rashid
Redzuan Muharam


Tanah Merah: Lazimnya, golongan muda yang lebih aktif di TikTok dan memanfaatkan platform itu sebagai ruang memuat naik video, mengumpul pengikut serta berniaga.

Bagaimanapun, lain kisahnya dengan Apandi Abd Rashid, 54, yang tidak ketinggalan menggunakan TikTok sebagai platform untuk mencari rezeki selepas pendapatannya sebagai jurujual terjejas akibat pandemik Covid-19.

Apandi yang mesra disapa Abah dalam kalangan pengikutnya berkata, dia terjebak sebagai peniaga pakaian terpakai selepas dicadangkan oleh anak bongsunya, Anzieernishamimiey, 24.

Menyedarinya peluang baik untuk menjana pendapatan, Apandi beranikan diri melabur wang simpanan RM1,500 sebagai modal permulaan.

Bukan setakat itu, Apandi juga sanggup menjual motosikal Vespa kesayangannya kerana memerlukan wang untuk membuat pusingan modal demi kelangsungan perniagaannya itu.

"Saya bekerja sebagai jurujual kereta sejak 16 tahun lalu namun pandemik Covid-19 membuatkan saya terputus masa pencarian.

"Kebetulan, anak bongsu yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mempunyai rakan menjual baju terpakai dan beritahu saya ramai golongan muda kini gemarkan baju hoodie dan sweatshirt.

"Anak syorkan saya berniaga dan dia yang bantu dapatkan pembekal. Pada awalnya, saya beli dua karung beg (bundle) pakaian saja dengan setiap satunya berharga RM750 dan pelaburan itu berhasil apabila jualan mendapat sambutan ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Apandi, anak jirannya yang banyak membantunya ketika menjual pakaian secara langsung di TikTok kerana dia tidak begitu kurang mahir menggunakan platform itu pada awalnya.

Katanya, dia tidak tahu bagaimana jika dirinya bersiaran langsung di TikTok seorang diri kerana agak gugup untuk berinteraksi dengan pengikut selain ada masalah rabun huruf serta warna.

"Sebelum TikTok, saya cuba berniaga di Facebook (Fb) tetapi sambutannya tidak memberangsangkan dan itu yang menyebabkan saya beralih ke TikTok.

"Baru saja bermula, saya sudah diduga apabila menjadi mangsa dua pembeli tidak serius (joy buyer) yang kononnya mahu membeli 50 helai baju tetapi diam begitu saja.

"Ia terjadi ketika saya bersiaran langsung kali kedua, sedih juga rasanya tetapi tidak sampai berputus asa.

"Kebetulan, saya ada muat naik video membungkus pakaian dan tak sangka ia tular hingga jumlah pengikut naik mendadak selepas itu," katanya yang menggunakan nama Abah Bundle di TikTok dan sudah mengumpul 58,700 pengikut setakat ini.

Apandi berkata, dia mengadakan sesi jualan secara langsung dua kali seminggu iaitu pada setiap Ahad dan Rabu bermula 9.30 malam.

Sebelum bersiaran langsung, dia akan memastikan kesemua baju dicuci terlebih dahulu sebelum disusun dengan bantuan isteri dan anak bagi memastikan pelanggan menerimanya dalam keadaan baik.

Meskipun masih baru dalam perniagaan, Apandi gembira kerana setiap kali bersiaran langsung, ramai yang memberi sokongan dengan membeli pakaian jualannya.

"Saya selesa bahasakan diri abah dengan pengikut dan gelarkan mereka anak kerana rata-ratanya masih muda.

"Alhamdulillah, pengikut boleh menerima saya di TikTok walaupun sudah berusia dan pulangan diterima memuaskan dengan anggaran untung bersih kira-kira RM1,000 hingga RM2,000 seminggu.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menyokong kerana apa dilakukan ini adalah demi menyara keluarga terutama perbelanjaan anak bongsu di universiti," katanya yang menggunakan sebahagian keuntungan diterima untuk membantu asnaf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 8:55 PM