LELAKI yang cedera ditembak.
LELAKI yang cedera ditembak.
Oleh Mohd Rizal Abdullah


Miri: Tindakan seorang lelaki menyerang sepasukan anggota polis menggunakan pisau pemotong sayur dan parang membawa padah apabila dia cedera ditembak polis dalam kejadian di sebuah rumah di Bekenu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6 pagi itu, suspek berusia 43 tahun cedera ringan apabila terkena satu das tembakan di bahagian punggung kanan.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Junaidi Bujang berkata, suspek dikatakan mengamuk dan cuba membunuh diri selain membakar rumahnya sebelum ini.

Menurutnya, sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi bagi menenangkan keadaan, bagaimanapun, suspek bertindak agresif.

"Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata di dalam bilik suspek, bagaimanapun, suspek terus keluar dari bilik lalu menyerang beberapa anggota polis menggunakan parang dan pisau pemotong sayur.

"Seorang anggota polis cedera terkena libasan pisau suspek," katanya.

Katanya, seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan dan mengenai bahagian punggung kanan suspek.

"Suspek rebah dan berjaya ditahan polis. Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan," katanya.

Katanya, pada 11 Disember lalu, polis menerima laporan polis berhubung tindakansuspek bercakap seorang dirisambil memegang pisau.

"Keluarganya kemudian melarikan diri kerana bimbang dengan keadaan suspek," katanya.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 2:26 PM