Laporan Harian Metro semalam.
Laporan Harian Metro semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman selepas tular pendaftaran automatik dalam sistem MyRELA tanpa pengetahuan orang ramai.

Rela dalam kenyataannya hari ini berkata, siasatan dalaman dijalankan bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) berkuat kuasa.

Menurut kenyataan itu, jabatan berkenaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran.

"Ingin ditegaskan dakwaan jabatan ini menggunakan data peribadi orang lain untuk didaftarkan sebagai anggota Rela secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan adalah tidak benar.

"Perbuatan ini bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Rela juga dalam usaha melaksanakan program pemutihan, di mana anggota yang tidak aktif selama tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.

"Bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 terpaksa digantung sementara kerana jabatan ini sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak Covid-19.

"Bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah Rela," katanya.

Menurut kenyataan itu, individu yang mendapati dirinya didaftarkan sebagai anggota Rela dan ingin menamatkan keanggotaan boleh menghubungi talian 03-88703770 atau emel ke [email protected] untuk dibatalkan keanggotaannya.

Semalam, Harian Metro melaporkan ada individu yang didaftarkan sebagai anggota Rela walaupun tidak pernah membuat permohonan hasil semakan secara dalam talian melalui pautan jabatan itu.

Berita berkaitan

Tular di media sosial, warganet dapati nama didaftar sebagai Rela

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 10:37 AM