HAMZAH, gambar fail. FOTO Arkib  NSTP
HAMZAH, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Puchong: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenal pasti jumlah individu yang namanya didaftarkan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam sistem MyRELA, baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya kini dalam proses menghubungi individu berkenaan bagi mendapatkan maklumat berhubung perkara itu.

"Kita sudah kenal pasti jumlah keseluruhan (individu yang terbabit) dan kini dalam proses menghubungi seorang demi seorang dahulu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Sebelum ini, sistem pendaftaran anggota Rela dilakukan secara manual sebelum dimasukkan dalam sistem kemasukan dan sebab itu kita minta mereka (Rela) supaya menghubungi individu berkenaan untuk tahu siapa orangnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff dan Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam.

Beliau berkata, ada beberapa individu yang dihubungi memaklumkan ada pihak meminta tandatangan mereka sebelum ini.

"Ada dua, tiga individu yang kita hubungi memaklumkan ada orang minta tandatangan mereka.

"Namun, mereka sendiri tidak tahu sama ada tandatangan itu untuk kemasukan sebagai anggota Rela atau tidak.

"Sesiapa yang mahu menyertai Rela perlu memastikan penyertaan dilakukan adalah betul," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kekecohan di media sosial apabila rata-rata netizen memuat naik status yang mendakwa mereka didaftarkan sebagai anggota Rela secara automatik dalam sistem MyRELA tanpa pengetahuan.

Terdahulu, pihak Rela dalam kenyataan, sebelum ini, memaklumkan agensi itu akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) dikuatkuasakan pada 2012.

Bagaimanapun, pihak Rela menafikan berlakunya pendaftaran secara automatik dan menegaskan perbuatan itu bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Dalam perkembangan berasingan, Hamzah berkata, pihaknya sudah memuktamadkan nama individu yang bakal dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara.

"Kita sudah memuktamadkan (nama) dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat pengesahan.

"Jadi kita tunggu daripada Agong," katanya ringkas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:34 PM