HAMZAH ditemui media ketika bersama Jabatan Imigresen meninjau penempatan warga asing di Taman Sutera. FOTO Danial Saad
HAMZAH ditemui media ketika bersama Jabatan Imigresen meninjau penempatan warga asing di Taman Sutera. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menunggu laporan penuh berhubung siasatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berkaitan isu pendaftaran automatik dalam sistem MyRELA tanpa pengetahuan orang ramai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Rela Yahya Sulaiman, supaya meneliti perkara berhubung pendaftaran automatik itu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Kata beliau, Rela sedang memperhalusi isu terbabit dan laporan lanjut dijangka akan menyusul dalam tempoh beberapa hari ini.

"Perkara ini (pendaftaran anggota secara automatik) sudah dimaklumkan kepada saya malam tadi dan saya juga sudah meminta Ketua Pengarah Rela melihat semula daripada segi pendaftaran ini.

"Apa yang boleh dilihat, segala ini berlaku kerana ada kalanya, kerana maklum sajalah bantuan banyak kita berikan, jadi masing-masing ada yang hendak mengambil kesempatan.

"Jadi perkara ini kita akan perhalusi disamping kita akan tentukan pada masa akan datang, bukan mudah untuk mendaftar sesiapa menjadi anggota Rela," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular berhubung pendaftaran automatik sebagai anggota Rela.

Hamzah ditemui ketika mengadakan tinjauan di kawasan perumahan yang berdepan masalah penempatan warga asing di Rumah Pangsa Jalan Terubuk dan Pangsapuri Taman Sutera, Seberang Jaya di sini, hari ini.

Ditanya sama ada terdapat elemen penyelewengan data, Hamzah berkata, perkara berkenaan juga turut disiasat.

"Kita sudah suruh (siasatan dijalankan) dan dalam satu atau dua hari ini, mereka akan kembali bersama laporannya," katanya.

Semalam, kecoh di media sosial apabila rata-rata netizen memuatnaik status dengan mendakwa mereka didaftarkan sebagai ahli Rela secara automatik di dalam sistem MyRELA tanpa pengetahuan.

Ia amat mengejutkan hingga ada yang mendakwa sama ada berlaku pencerobohan data dalam sistem berkenaan.

Terdahulu, Rela pada kenyataan juga memaklumkan bahawa agensi itu akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) dikuatkuasakan pada 2012.

Rela pada kenyataan bagaimanapun menafikan berlakunya pendaftaran secara automatik dan menegaskan perbuatan itu bercanggah dengan perkara yang dinyatakan di Seksyen 6(1), Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 4:33 PM