AQILAH Salihah  (tengah) berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya selepas memperoleh keputusan  11A dalam SPM ketika tinjauan di Presint 15, Putrajaya, semalam.
AQILAH Salihah (tengah) berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya selepas memperoleh keputusan 11A dalam SPM ketika tinjauan di Presint 15, Putrajaya, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tiada kedengaran sorakan, tawa gembira mahupun tangisan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dewan sekolah di seluruh negara tahun ini.

Malah, momen indah pada hari bersejarah itu juga tidak dapat dirakam mereka, selain ibu bapa juga tidak lagi perlu menemani anak masing-masing untuk mengambil keputusan peperiksaan di sekolah.

Situasi itu berikutan semua pelajar SPM 2020 hanya perlu memuat turun keputusan peperiksaan secara dalam talian yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula jam 10 pagi.

Aqilah Salihah Ismail Yusof, 19, yang mendapat keputusan cemerlang 11A mengakui sedikit kecewa kerana tidak dapat meraikan kegembiraan itu bersama rakan di sekolah namun dia tetap bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, seawal jam 10 pagi dia sudah menunggu di hadapan komputer bersama seluruh ahli keluarganya.

"Walaupun tidak dapat ke sekolah mengambil keputusan peperiksaan dan hanya dibuat secara dalam talian, tapi perasaan gemuruh itu tetap ada.

"Alhamdulillah, keputusan yang diperoleh seperti diharapkan. Kami sekeluarga memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya mengenai cabaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan pandemik Covid-19, pelajar Sekolah Menengah Sri Al-Amin di Bangi, Selangor itu berusaha mengadaptasi norma baharu terbabit.

"Pada mulanya memang rasa tertekan dan emosi terganggu tapi ibu bapa banyak beri dorongan. Saya mengikuti kelas secara dalam talian seperti dijadualkan dan mengulang kaji pelajaran sendiri," katanya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang sains.

Pelajar Sekolah Menengah St Anne, Labuan, Nur Insyirah Hassan, 18, yang mendapat keputusan 9A dalam SPM turut mengakui masih merasai debaran walaupun keputusan diambil secara dalam talian.

"Saya rasa berdebar nak lihat keputusan walaupun sudah jam 10 pagi. Tiba-tiba dapat mesej daripada guru memaklumkan saya dapat keputusan cemerlang.

"Selepas itu, saya semak secara dalam talian dan gembira apabila lihat semua matapelajaran saya dapat A. Ibu menangis dan segera buat sujud syukur," katanya.

Katanya, meskipun dia terpaksa bertukar sekolah pada tahun lalu kerana mengikuti bapa yang bertugas di Labuan selain perlu mengadaptasi norma baharu, namun dia tidak menjadikan halangan untuk berjaya.

"Sebelum ini kami sekeluarga menetap di Kuching, Sarawak tapi pada awal tahun lalu, kami berpindah ke Labuan dan saya bertukar sekolah.

"Mahu atau tidak, saya mesti sesuaikan diri dengan suasana pembelajaran baharu selain berkenalan dengan guru dan rakan baharu.

"Bagaimanapun, tempoh mengikuti kelas secara fizikal tidak lama kerana sekolah ditutup berikutan wabak dan kami mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.

Sementara itu, Norafidah Ahmad, 50, berkata, dengan cara baharu itu ibu bapa tidak perlu merisikokan diri ke sekolah menemani anak mengambil keputusan SPM.

"Sebagai ibu bapa kami akur, bagus juga cara ini lebih selamat tanpa perlu risikokan diri dan anak kerana Covid-19 masih belum reda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:40 AM