Redzuan Muharam


Ampang: Kucing pernah menjadi haiwan yang tidak disukai oleh Azizah Ibrahim, malah dia berasa geli walaupun hanya dengan memandangnya.

Bagaimanapun, perasaan kasihan melihat kucing jalanan yang sakit dan tidak terurus menyebabkan perasaan tidak sukanya itu bertukar menjadi sayang hingga Azizah kini menjadi pencinta haiwan berkenaan.

Semuanya bermula selepas seorang anak daripada empat anaknya membawa pulang kucing sakit ke rumah dan sejak itu Azizah aktif menyelamat kucing jalanan khususnya yang sakit akibat dipukul atau mengalami penyakit tertentu.

Untuk perbelanjaan kucing berkenaan, Azizah tidak mengharapkan sumbangan orang ramai malah mengambil inisiatif menanam pelbagai jenis pokok termasuk jenis herba di halaman rumah untuk dijual.

Azizah tidak berseorangan sebaliknya dibantu suaminya, Rasidi Zahari, 60, bagi menguruskan 82 ekor kucing diselamatkan dan ditempatkan di ruang khusus di luar rumahnya.

"Saya memang tidak sukakan kucing dan pernah pulang sebelum sempat menjamah makanan selepas ternampak haiwan itu di restoran.

"Geli ada, takut pun ya...namun segalanya berubah selepas anak membawa pulang kucing ke rumah.

"Anak saya membawa pulang kucing itu senyap-senyap tetapi akhirnya saya dapat tahu dan sebaik melihat keadaan kucing itu, kemudiannya timbul rasa kasihan dan perasaan berkenaan mengatasi ketakutan serta geli yang ada dalam diri sebelum ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ukay Bistari di sini.

Khalid mendengar penerangan Azizah mengenai sebahagian pokok herba yang di tanam di pekarangan rumahnya di Taman Ukay Bistari, Ampang. Foto Mohd Yusni Ariffin
Khalid mendengar penerangan Azizah mengenai sebahagian pokok herba yang di tanam di pekarangan rumahnya di Taman Ukay Bistari, Ampang. Foto Mohd Yusni Ariffin

Azizah berkata, dia hanya menyelamat kucing buat masa ini dan memberi sebahagiannya kepada yang serius untuk menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.

"Saya tidak menerima kucing daripada pemilik asal kerana fokus saya adalah menyelamat kucing jalanan.

"Selepas dibersihkan, saya akan serahkan kepada yang berminat tetapi hanya kucing sihat dan bebas daripada penyakit.

"Kucing yang berpenyakit dan memerlukan rawatan serta pemantauan pula akan terus saya pelihara sendiri dengan bantuan suami," katanya.

Mengenai inisiatifnya mewujudkan taman mini herba, Azizah berkata, niat utamanya bukan untuk menjual hasil tanaman dan mendapatkan pulangan wang semata-mata.

Sebaliknya, Azizah menanam tumbuhan herba itu bagi membolehkannya dimakan oleh kucing peliharaannya kerana tahu banyak khasiat yang ada.

"Saya mulakan projek menanam tumbuhan herba ini sejak enam bulan lalu dan antara yang ditanam seperti pokok bangun-bangun, tulasi dan semambu.

"Kebanyakan pokok ini mengandungi khasiat antaranya boleh mengubati selsema, sakit mata, kulit dan merawat kutu, malah tidak memudaratkan jika dimakan oleh kucing.

"Jadi, saya berasa ia satu inisiatif yang baik dan tanaman itu sudah dijual cuma secara dalam talian buat masa ini buat kenalan Facebook (FB) miliknya kerana projek belum siap sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid menyifatkan inisiatif Azizah dan suaminya satu usaha yang murni dan perlu menjadi ikutan pengusaha pusat perlindungan kucing lain.

"Apa dilakukan mereka berdua secara tidak langsung membantu KKM dalam menyelamatkan kucing jalanan, malah usaha menanam pokok herba bagi dijual satu langkah yang baik.

"Ia kerana mereka tidak meminta atau mengharapkan sumbangan sebaliknya mengambil sendiri inisiatif bagi mendapatkan dana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 9:03 PM
Azizah bermain dengan sebahagian kucing diselamatkannya di rumahnya di Taman Ukay Bistari, Ampang. Foto Yusni Ariffin
Azizah bermain dengan sebahagian kucing diselamatkannya di rumahnya di Taman Ukay Bistari, Ampang. Foto Yusni Ariffin