SYAMIMI dan Haikal (kiri) menghasilkan kad dan sampul duit raya yang masih menjadi pilihan segelintir individu.  FOTO Ihsan Syamimi Harni Zulkifli
SYAMIMI dan Haikal (kiri) menghasilkan kad dan sampul duit raya yang masih menjadi pilihan segelintir individu. FOTO Ihsan Syamimi Harni Zulkifli
Redzuan Muharam


Alor Setar: Biarpun aplikasi Whatsapp dan platform digital menjadi medium orang ramai untuk berhubung, kad raya masih menjadi pilihan segelintir individu untuk memberi ucapan kepada yang tersayang.

Buktinya, pereka dalaman, Syamimi Harni Zulkifli, 23, dari Taman Pulai Jaya, di sini masih menerima tempahan membuat kad raya daripada individu perseorangan, mahupun syarikat korporat tahun ini.

Syamimi tidak berseorangan kerana bekerjasama dengan rakannya, Haikal Arif Azhar, 24 yang bertanggungjawab menghasilkan sampul duit raya.

Biarpun bilangan tempahan diterima berkurangan berbanding tahun lalu namun Syamimi menganggap pesanan diterima bukti kad raya masih relevan.

"Ini tahun ketiga saya mengambil tempahan membuat kad raya dan Alhamdulillah, permintaan terhadapnya masih ada.

"Sehingga kini, saya sudah menerima tempahan untuk membuat 2,600 keping kad raya manakala 450 bagi sampul duit raya.

"Kebanyakan pelanggan membuat tempahan kerana beraya di perantauan dan menganggap medium itu lebih ada nilai sentimental sebagai pengganti diri berbanding menghantar kiriman ucapan di WhatsApp atau laman sosial," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

HASIL karya Syamimi dan Haikal Arif Azhar. FOTO Ihsan Syamimi Harni Zulkifli
HASIL karya Syamimi dan Haikal Arif Azhar. FOTO Ihsan Syamimi Harni Zulkifli

Berkongsi konsep kad dan sampul duit raya dihasilkan, Syamimi berkata diab mengangkat tema Puteri Legenda Melayu dari empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pahang dan Sarawak.

Katanya, terdapat juga ilustrasi rumah Melayu tradisional dan masjid yang menjadi mercu tanda empat negeri terbabit.

"Empat legenda diketengahkan itu adalah Puteri Lindungan Bulan dari Kedah, Cik Siti Wan Kembang (Kelantan), Puteri Walinongsari (Pahang) dan Puteri Santubong (Sarawak).

"Masjid pula terdiri daripada Masjid Zahir di Alor Setar, Kedah, Masjid Kampung Laut (Kota Bharu, Kelantan) Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 (Pahang) dan Masjid India dekat Kuching, Sarawak.

"Lukisan dan rekaan grafik lapan corak kad raya itu sudah disiapkan dua bulan sebelum Ramadan jadi saya hanya perlu mencetak dan menulis ucapan saja selepas menerima tempahan," katanya yang menjual kad raya dengan harga RM18 bagi satu set dan RM14 untuk satu pek sampul duit raya.

Sebagai generasi muda, Syamimi berbangga kerana dapat meneruskan legasi pembuat kad raya terdahulu ketika negara melalui peredaran zaman yang pantas.

"Selain menambah pendapatan, saya ambil tempahan kerana mahu amalan menghantar kad raya menjelang Aidilfitri ini berterusan dan diikuti generasi muda.

"Biarpun teknologi semakin canggih namun amalan ini tidak seharusnya dilupakan.

"Lagipun, ia salah satu cara untuk mengeratkan silaturahim sesama umat Islam lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik yang membuatkan ramai terpisah dengan keluarga dan insan tersayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 9:45 PM