HAIKAL menunjukkan  sebahagian karya yang dihasilkannya.
HAIKAL menunjukkan sebahagian karya yang dihasilkannya.
Oleh Redzuan Muharam


MUHAMMAD Haikal Mohd Nasir dilahirkan normal namun penyakit Duchennce Muscular Dystrophy (DMD) atau kemerosotan otot progresif akibat gangguan genetik menyebabkan dia tidak dapat berjalan sejak 10 tahun lalu.

Sejak itu, kehidupan Muhammad Haikal, 22, tidak seperti rakan seusia dan kebanyakan masanya dihabiskan duduk di atas tilam di ruang tamu rumah.

Namun, anak sulung daripada dua beradik itu enggan terus bersedih sebaliknya berusaha menjana pendapatan dengan menjual sampul duit raya serta kalendar berbekalkan kemahirannya dalam seni rekaan grafik.

“Mula-mula dulu saya menangis kerana sedih dengan keadaan diri yang tidak dapat berjalan dan bermain seperti rakan lain.

“Setahun juga saya mengambil masa untuk menerima hakikat dan kekuatan itu datang daripada keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

“Lagipun, tiada guna terus bersedih kerana mahu atau tidak, saya perlu berdepan ujian ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Batu Muda di sini, semalam.

Menurutnya, dia mula mengambil tempahan menghasilkan sampul raya sejak awal tahun lalu manakala rekaan kalendar bermula bulan lalu.

Selain minat, Muhammad Haikal melakukan usaha itu kerana keinginannya untuk membantu keluarga terutama ibu, Intan Kesuma Ramli, 42, dan ayahnya, Mohd Nasir Ibrahim, 44.

“Cita-cita saya adalah menjadi askar, tetapi bila sudah jadi begini, impian itu terpaksa dilupakan.

“Bila tengok kawan lain sudah bekerja, timbul juga keinginan sama, tetapi pergerakan saya terbatas, jadi saya gunakan kemahiran yang ada untuk menghasilkan sampul duit raya dan terbaru kalendar yang terjual sebanyak 500 keping dengan pulangan RM2,500.

“Saya siapkan tempahan pada sebelah malam kerana kebiasaannya idea mencurah-curah ketika itu dan sampul duit raya atau kalendar dihasilkan mengikut rekaan yang dimahukan pelanggan.

“Sambutan diterima amat baik dan saya menerima permintaan menghasilkan 5,000 keping sampul duit raya tahun lalu yang mana hasil jualan di dalam talian kira-kira RM3,000 digunakan untuk membantu ibu serta ayah,” katanya yang turut mempunyai masalah paru-paru.

Sementara itu, Intan Kesuma berkata, rutin hariannya kini adalah menguruskan Muhammad Haikal yang tidak dapat bergerak melainkan dengan bantuannya atau suami.

Katanya, selain memandikan, dia juga perlu menyuap makanan ke mulut anaknya setiap kali tiba waktu makan kerana Muhammad Haikal tidak dapat melakukannya sendiri.

“Ikutkan, dia dilahirkan normal, tetapi ketika berumur lapan tahun, saya dan suami nampak perubahan padanya yang mula dengan terjengket- jengket.

“Keadaan semakin serius ketika Muhammad Haikal berumur 10 tahun apabila cikgu sering menghubungi saya memaklumkan dia terjatuh ketika naik tangga di sekolah dan selepas melakukan pemeriksaan di hospital, doktor beritahu ia berpunca daripada masalah saraf serta kelainan genetik.

“Memang sedih melihatnya tidak berjalan seperti dulu, tetapi saya kagum dengannya kerana kuat semangat serta bijak mencungkil kelebihan di sebalik kekurangannya,” katanya.

Meskipun tiada peluang untuk Muhammad Haikal kembali normal, Intan sentiasa berdoa semoga kesihatan anaknya bertambah baik.

“Buat masa ini, Muhammad Haikal masih perlu menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain makan tiga biji ubat steroid setiap hari bagi melambatkan kesan kerosakan saraf,” katanya.

MOHD Nasir (kiri) dan Intan melihat sampul duit raya dihasilkan Haikal.
MOHD Nasir (kiri) dan Intan melihat sampul duit raya dihasilkan Haikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 7:10 AM