KEHADIRAN mula diterima peminat selepas sering terpalit kontroversi.
KEHADIRAN mula diterima peminat selepas sering terpalit kontroversi.
Ridzuan Abdul Rahman

PANTAS masa berlalu dan tanpa sedar pelakon Scha Elinnea sudah tiga tahun bergelar anak seni.

Scha, 22, yang awalnya dikecam hebat kerana tampil dengan imej seksi mengakui lega semakin diterima penonton.

"Syukur kecaman terhadap saya semakin berkurangan dan sekali gus buat saya lega. Dulu mungkinlah saya terlalu asyik dengan media sosial.

"Tapi sekarang saya sudah jarang buat hantaran di Instagram. Saya ambil pendekatan nak jaga privasi dan tak nak buang masa di media sosial.

"Kebanyakan hantaran saya sekarang hanya berkaitan karier lakonan," katanya.

Menurutnya, jadualnya kini agak padat sehinggakan tiada masa untuk diri sendiri.

"Sekarang saya sibuk nak bina nama dan dapat rehat seminggu dalam beberapa bulan pun sudah bersyukur.

"Saya beruntung kerana sebelum ini sering berlakon dengan artis berpengalaman yang tidak kedekut turunkan ilmu.

"Justeru inilah yang saya praktikkan sehingga bakat saya semakin menyerlah dalam kalangan penonton," katanya.

Scha berkata, dia kini lebih senang dikenali dengan bakat berbanding hal peribadi.

"Seboleh-bolehnya hal peribadi biarlah ditolak tepi. Saya akui saya seorang model sebelum masuk dalam bidang lakonan.

"Sudah tentu saya sering tampil dengan gaya dan imej seksi. Untuk sekarang, saya kena tengok pada situasi sebelum terima tawaran dalam modeling.

"Saya kena rapat dengan peminat. Jaga hati mereka dan tahu apa yang mereka nak," katanya.

FOKUS berlakon kerana jadual yang terlalu padat.
FOKUS berlakon kerana jadual yang terlalu padat.

Seandainya Kau Ada

Bercerita perkembangan terbaharu, Scha yang pernah membintangi drama antaranya Nasi Kerabu Untuk Che Abe, Tuan Danial, Cik Reen & Encik Ngok Ngek kini terbabit dengan drama 13 episod berjudul Selamat Datang Cinta terbitan A. Aida Production.

"Syukur saya bawa watak heroin bernama Ariana di samping beberapa pelakon lain antaranya Ali Reza. Ikutkan saya sudah banyak kali juga bawa watak heroin.

"Cuma kelainannya drama untuk saluran Salam HD ini genre romantik komedi. Ini pengalaman pertama saya bawa karakter yang 'masuk air'.

"Di luar saya pemalu tapi syukur saya berjaya buat. Ia satu karakter dan pengalaman baru. Kami kena jaga dari segi pemakaian dan bersentuhan," katanya.

Dia seterusnya akan terbabit dengan penggambaran drama Kerana Kau Suka terbitan Zeel Production untuk TV3.

"Saya juga sudah banyak kali bekerja dengan mereka dan berasa selesa. Bahkan saya juga berlakon filem Seandainya Kau Ada terbitan Zeel Production yang kini ditayangkan di Astro First.

"Biarpun hanya watak pembantu, saya tetap gembira dapat berlakon. Difahamkan filem ini dapat sambutan baik daripada penonton.

"Ini filem kedua saya kerana terlebih dahulu berlakon filem Marabahaya Underground bersama Cat Farish dua tahun lalu. Namun tayangannya belum pasti lagi," katanya.

Scha mengakui teringin membawakan watak mencabar seperti orang psiko selepas ini.

"Mungkin luaran nampak baik tapi sebenarnya dia gila. Saya tak kisah berlakon tanpa mekap dan pakaian cantik.

"Tiada masalah kerana dalam hidup kena selalu cuba benda baru. Lain karakter lain rasanya dan pengalamannya," kata Scha.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:00 AM