Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Scha Alyahya mengakui tidak ada sebab untuknya menutup ruangan komen Instagram (IG) meskipun gaya potongan rambut terbarunya dikecam dan disamakan dengan kobis dan mop lantai.

Scha atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 35, berkata dia tidak kisah dengan apa juga gelaran diberikan asalkan tidak membabitkan nama anaknya, Lara Alana.

“Sebelum ini, saya ada terbaca fesyen segelintir artis lain yang dikecam pada sambutan Aidilfitri. Namun, tidak menjangka tahun ini saya pula kena.

“Macam-macam gelaran mereka berikan. Saya okey saja dan sedikit pun tidak ambil hati kerana sudah lali dengan perkara ini. Lagi pula saya jenis hati kering.

“Kalau nak hina atau kritik saya, silakan. Cuma jangan sentuh anak saya,” katanya kepada Harian Metro.

Scha ditemui pada majlis memperkenalkan barisan pelakon filem Bikin Filem di TGV The Strand Mall, hari ini berkata, keputusan memotong rambut sebagai tanda komitmen untuk membawa watak Zarina dalam filem itu yang akan ditayangkan pada September ini.

Menurut Scha, walaupun dia boleh memilih untuk memakai rambut palsu namun dirinya berasa puas jika memotong rambut sekali gus memberikan imej segar.

“Kali terakhir berambut pendek ketika bersalin empat tahun lalu. Itu pun paras bahu.

“Sekarang saya berasa ‘bebas’ dan gembira dengan imej ini. Biarlah saya menikmati gaya ini sepuas-puasnya. Suami okey saja, asalkan tidak terlalu pendek. Katanya, nanti jadi lain pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 10:19 PM
Gaya rambut Scha mendapat kecaman. FOTO IG Scha Alyahya
Gaya rambut Scha mendapat kecaman. FOTO IG Scha Alyahya