SCHA sedih kerana tidak dapat mempromosikan filemnya dengan cara bertemu peminat.
SCHA sedih kerana tidak dapat mempromosikan filemnya dengan cara bertemu peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


DALAM tempoh tiga tahun bergelar pelakon, Scha Elinnea, 22, beruntung kerana sudah berjaya membintangi dua filem termasuk Marabahaya Underground yang kini menemui peminat menerusi saluran Astro First.

Biarpun gembira dan bersyukur, terdetik juga perasaan kecewa apabila filem yang sepatutnya ditayangkan di pawagam kini hanya untuk tayangan di platform digital.

"Ini adalah filem kedua saya selepas Seandainya Kau Ada terbitan Zeel Production yang turut ditayangkan menerusi platform sama.

"Perancangan awal filem ini akan keluar di pawagam dan sudah tentu saya teruja kerana pengalamannya berbeza berbanding tayangan di platform digital.

"Namun, saya kena akur kita sekarang masih berjaga-jaga dengan wabak Covid-19 dan ini pilihan terbaik yang penerbit filem ini ada. Saya perlu akur saja," katanya.

Scha tidak menafikan perasaan kecewanya kerana tidak dapat melakukan promosi seperti yang biasa dilakukan filem sebelum pandemik.

"Setiap pelakon filem mesti teruja dengan promosi yang diatur penerbit seperti bertemu peminat di pawagam dan lokasi lain.

"Semua pengalaman ini saya belum rasa lagi. Kalau ditanya tentu saya sedih juga kerana dari sini saya dapat menilai pandangan peminat terhadap saya.

"Namun, saya percaya ada kebaikannya semua ini. Saya sentiasa positif dan berdoa agak wabak ini segera berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan seperti dulu," katanya.

BIARPUN kecewa, namun akur filem Marabahaya Underground hanya ditayangkan di platform digital.
BIARPUN kecewa, namun akur filem Marabahaya Underground hanya ditayangkan di platform digital.

Dia juga kecewa kerana tidak dapat hadir ketika pelancaran filem terbabit yang berlangsung di sebuah lokasi di Shah Alam.

"Saya terbabit dengan penggambaran ketika itu dan tak dapat menghadirkan diri. Jadual agak ketat. Namun, saya tetap mempromosikan filem ini di media sosial.

"Sekarang saya menjalani penggambaran program realiti untuk TV3 berjudul Master In The House Malaysia. Selepas itu akan masuk ke lokasi Kerana Dia Isteri Bidaan untuk slot Akasia sebanyak 28 episod," katanya.

Menerusi Marabahaya Underground, Scha melakonkan watak Intan Juliana yang diminati pelumba kereta bernama Chon (Hazama).

"Setakat ini filem terbabit boleh diterima masyarakat dan watak saya sebagai Intan Juliana dapat banyak komen positif. Pengalaman berlakon sangat menarik sebab saya buat sesuatu yang saya tak pernah buat dan mencabar seperti melakukan teknik pemanduan 'drift.'

"Saya kena ambil masa untuk belajar dan rasa panasnya memakai sut khas ketika memandu. Paling mencabar sebab penggambaran dibuat pada bulan puasa," katanya.

Scha yang kini terikat dengan penggambaran drama sehingga Jun tahun hadapan, mengimpikan watak aksi jika ditawarkan berlakon filem lagi.

TERINGIN bawa watak aksi lasak jika ditawarkan berlakon filem.
TERINGIN bawa watak aksi lasak jika ditawarkan berlakon filem.

"Saya nak sangat filem aksi yang memerlukan saya berlawan. Saya kena belajar dan berlatih selalu. Saya mungkin nampak lembut, tapi saya tak kisah ambil cabaran kalau diberi watak begitu.

"Kalau boleh saya tak nak duduk dalam watak lemah lembut lagi dan lebih suka bawa watak yang bertentangan.

"Kalau demi watak yang besar dan bersesuaian, saya tak kisah nak korbankan rambut atau tukar imej demi watak. Malah, saya sanggup buat badan jika itu cabaran yang diperlukan," katanya.

Berkenaan watak seksi dan menggoda, Scha masih boleh menerimanya, tapi menerusi pendekatan watak yang berbeza.

"Watak penggoda mungkin boleh, tapi tak semestinya saya kena pakai seksi kerana pelbagai cara boleh dibuat," katanya yang mengakui cuba untuk bertukar imej dari seksi kepada yang lebih baik sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 6:20 AM