MOHAMAD Noor Azmi buta sebelah mata selepas terbabit dalam kemalangan pada Disember 2016. FOTO ihsan Mohamad Noor Azmi Mat Ali
MOHAMAD Noor Azmi buta sebelah mata selepas terbabit dalam kemalangan pada Disember 2016. FOTO ihsan Mohamad Noor Azmi Mat Ali
Redzuan Muharam


Dungun: Insiden kemalangan yang berlaku pada 16 Disember 2016 masih terpahat dalam ingatan usahawan muda, Mohamad Noor Azmi Mat Ali kerana itu kali terakhir dia dapat melihat dengan dua belah matanya.

Ia kerana kemalangan itu mengakibatkan mata kiri Mohamad Noor Azmi, 33, buta kesan serpihan kaca yang termasuk di dalamnya.

Kesukaran menerima hakikat menyebabkan Mohamad Noor Azmi yang kini menetap di Bandar Ketengah Jaya, di sini, mengasingkan diri daripada dunia luar selama setahun dan pernah terlintas untuk berhijrah ke Singapura kerana tidak tahu bagaimana berdepan masyarakat.

Namun, sokongan keluarga terutama ibu, Norizan Hussain, 55, memberi kekuatan untuknya berdepan realiti dan bangkit menjalankan semula perniagaan makanan serta pakaian yang pernah diusahakannya sebelum kemalangan.

Mengimbas semula kejadian itu, Mohamad Noor berkata, dia terbabit dalam kemalangan di Dengkil, Selangor ketika memandu berseorangan menuju ke Singapura atas urusan kerja.

"Seingat saya, sebuah lori dari laluan bertentangan merempuh kereta saya dan kemalangan itu menyebabkan saya koma selama lapan hari serta hanya tahu mata kiri sudah tidak dapat melihat selepas tersedar.

"Saya ambil masa setahun untuk pulihkan semangat dan dalam tempoh itu, saya lebih banyak menyendiri di dalam bilik kerana enggan bertemu sesiapa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohamad Noor Azmi tidak menafikan berdepan pelbagai persepsi ketika berada di khalayak ramai disebabkan kecacatannya.

"Banyak dugaan ketika ke tempat awam kerana ada segelintir individu memang akan memandang pelik.

"Jujurnya memang terkesan dengan pandangan itu dan kekurangan diri mungkin menyebabkan saya jadi terlebih sensitif.

"Namun, perasaan itu hanya ada untuk seminggu saja kerana lama kelamaan, saya jadi lali dengan pandangan orang sekeliling," katanya.

Mengenai perkongsiannya di TikTok, Mohamad Noor Azmi berkata, niatnya adalah untuk memberi semangat dan inspirasi kepada insan istimewa lain di luar sana.

Selain itu, Mohamad Noor Azmi berkata, TikTok adalah platform alternatif baginya untuk memperkenalkan lagi perniagaan supaya terus bertahan dalam tempoh pandemik.

"Sebenarnya, baru empat bulan saya membuka akaun TikTok dan banyak juga berkongsi kisah serta pengalaman sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

"Pelbagai maklum balas diterima, ada yang positif dan tidak kurang juga melemparkan komen negatif.

"Saya terima saja semua komen diberi dan kini, saya mahu terus positif serta berharap OKU lain juga begitu," katanya.

Mohamad Noor Azmi menerima apa yang berlaku sebagai takdir dan hadiah daripada Allah SWT buatnya.

"Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya jadi mahu atau tidak, saya perlu berdepan kenyataan.

"Bukan mudah tetapi saya cuba tetapkan dalam fikiran saya memang dilahirkan sebagai OKU supaya tidak terus berasa sedih dengan apa yang sudah tiada," katanya.

Foto Ihsan Mohamad Noor Azmi Mat Ali

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 9:06 PM