Redzuan Muharam


Lumut: Secara zahirnya, Mohammad Nur Alif Mohamad Tarmezam ada kekurangan kerana kudung kaki kiri selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 2014.

Namun, pemuda berusia 24 tahun itu bukan sembarangan insan istimewa kerana pernah mewakili Perak dalam acara renang di Kejohanan Para Sukma 2018 dan lincah di padang bola sepak hingga pasukannya mendapat tempat kedua Kejohanan Bola Sepak Amputee Asia di Indonesia pada 2019.

Mengakui pengalaman pahit kemalangan hampir melunturkan semangatnya, Mohammad Nur Alif bagaimanapun enggan hanyut dalam kesedihan sebaliknya berusaha bangkit untuk menjalani kehidupan seperti insan lain selain reda dengan ketetapan Ilahi.

Mohammad Nur Alif juga berkongsi kisahnya melakukan aktiviti kecergasan termasuk berbasikal di media sosial sebagai kesedaran kepada orang ramai mengenai kewujudan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dan kelebihannya dalam masyarakat.

"Tipu kalau saya katakan tidak sedih apabila hilang sebelah kaki selepas kemalangan itu. Perasaan itu normal cuma memikirkan sokongan keluarga, rakan dan ramai lagi insan kurang bernasib baik di luar sana membuatkan saya bersyukur kerana masih diberi peluang kedua untuk hidup.

"Alhamdulillah, kekurangan yang ada tidak menghalang saya untuk bekerja malah bukan hanya majikan tetapi rakan sekerja dan individu sekeliling menerima diri dengan seadanya serta beri layanan sama rata saja.

"Saya bersyukur dan terharu kerana ramai yang prihatin. Tidak sangka video berbasikal itu yang dikongsi di TikTok mendapat perhatian, secara tidak langsung dapat buka mata pengikut mengenai komuniti OKU," katanya.

Menetap di Pulau Pangkor, anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan dia tidak dapat menyertai mana-mana kejohanan sukan dan banyak meluangkan masa berbasikal demi menjaga kesihatan serta mengekalkan stamina.

"Di samping itu, saya juga aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Sahabat Orang Kurang Upaya Perak (SOKUP), dengan kami banyak mengagih bantuan makanan dan barang keperluan asas kepada OKU yang terkesan akibat Covid-19," katanya.

Mohammad Nur Alif berkongsi rancangannya menyertai Sukan Malaysia di Johor, tahun depan selain ekspedisi kayak dari Lumut ke Pulau Pangkor dan mengikuti acara Triathlon.

"Saya mahu memanfaatkan kebolehan berenang dan berbasikal untuk ikuti acara itu (Triathlon)," katanya menggunakan tongkat untuk bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 7:01 PM
MOHAMMAD Nur Alif berkongsi kisahnya melakukan aktiviti berbasikal di media sosial. FOTO ihsan Mohammad Nur Alif Mohamad Tarmezam
MOHAMMAD Nur Alif berkongsi kisahnya melakukan aktiviti berbasikal di media sosial. FOTO ihsan Mohammad Nur Alif Mohamad Tarmezam