PEMAIN kebangsaan ketika menjalani latihan pusat di Johor Bahru, baru-baru ini.
PEMAIN kebangsaan ketika menjalani latihan pusat di Johor Bahru, baru-baru ini.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya boleh dikatakan laku keras apabila empat pasukan memberikan maklum balas positif untuk mengadakan perlawanan persahabatan menjelang baki Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun depan.

Ketika ini pasukan Bahrain sudah menyatakan persetujuan untuk menerima kunjungan skuad Harimau Malaya bagi mengharungi perlawanan persahabatan pada 28 Mei depan.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, tiga lagi pasukan sudah memberikan maklum balas positif dan bersedia mengadakan perlawanan persahabatan bagi membantu mempersiapkan pasukan masing-masing menjelang saingan itu.

Beliau berkata, tiga pasukan terbabit adalah Jordan, Iran dan Hong Kong yang kini menunggu perbincangan bagi mengenal pasti venue bersesuaian untuk perlawanan persahabatan.

"Harimau Malaya akan mengharungi dua perlawanan persahabatan. Ketika ini, Bahrain sudah bersetuju untuk berentap dengan kita manakala satu lagi pasukan adalah antara Jordan, Iran atau Hong Kong.

"Kedua-dua perlawanan persahabatan itu kemungkinan akan berlangsung di Bahrain sekali gus mahu melihat kesediaan tiga pasukan lain untuk bermain di negara terbabit.

"Perlawanan persahabatan penting bagi membantu pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memilih kesebelasan terbaik untuk skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Skuad negara kini menduduki tangga kedua Kumpulan G dan dijadual beraksi di UAE bagi menghabiskan baki tiga aksi berdepan Thailand, Vietnam dan tuan rumah di sana.

Selain itu, Yusoff berkata, prestasi memuaskan skuad Harimau Malaya dalam saingan kumpulan itu menyebabkan pasukan terbabit berminat untuk mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persediaan untuk mereka mengharungi saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Seperti sedia maklum, pasukan berkenaan juga mempunyai reputasi baik dan sudah tentu memberi impak positif terutama membabitkan pengalaman pemain yang sudah lama tidak beraksi untuk perlawanan persahabatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 7:00 AM