Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Segalanya sudah terlerai apabila skuad Harimau Malaya akhirnya sah akan menerima vaksin sebelum turun 'berperang' bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mei depan.

Perkara itu disahkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas usaha berterusan pelbagai pihak akhirnya membuahkan hasil untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe diberikan vaksin.

Reezal berkata, seramai 78 individu merangkumi pegawai, pemain dan barisan kejurulatihan akan diberikan suntikan vaksin bermula 19 April ini.

"Mereka akan divaksinkan pada tarikh lebih awal iaitu 19 April (jangkaan sebelum ini penghujung April) bertempat di Dewan Sri Seroja, Percint 15, Putrajaya.

"Mereka boleh selesaikan sebelum berangkat ke Dubai bagi menghadapi perlawanan 23 Mei nanti," katanya, pada sidang media selepas melancarkan Detik 100 Hari ke Tokyo 202 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Reezal Merican (tengah) bergambar bersama pegawai dan atlet selepas melancarkan Detik 100 hari ke Tokyo 2020. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Reezal Merican (tengah) bergambar bersama pegawai dan atlet selepas melancarkan Detik 100 hari ke Tokyo 2020. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Sebelum itu, dikhabarkan skuad Harimau Malaya kemungkinan ke Emeriah Arab Bersatu (UAE) tanpa divaksinkan sekali gus menimbulkan kerisauan dikalangan pemain dan barisan kejurulatihan.

Skuad Harimau Malaya terlebih dahulu akan menyertai kem latihan bermula 16 Mei sebelum berangkat ke Bahrain bagi mengharungi dua perlawanan persahabatan.

Mengikut rekod, UAE akan menjadi tuan rumah menghabiskan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi Kumpulan G dengan Malaysia dijadualkan berdepan UAE pada 3 Jun, sebelum menentang Vietnam (11 Jun) dan perlawanan terakhir dengan Thailand (15 Jun).

Skuad negara kini menghuni tangga kedua Kumpulan G dengan sembilan mata, dua mata di belakang pendahulu, Vietnam sementara Thailand di kedudukan ketiga selepas mengumpul lapan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 8:33 PM