Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SIAPA tidak rindu untuk menunaikan ibadat umrah. lebih-lebih lagi Ramadan menjelang tiba.

Panggilan Baitullah memang cukup dengan dengan kita namun ia tidak dapat dilaksanakan buat sementara gara-gara penularan Covid-19.

Pastinya banyak perubahan dalam pelaksanaan ibadat ini pada masa depan membabitkan Prosedur Operasi Standard (SOP), suntikan vaksin Covid-19, kos umrah dan kuarantin.

Ikuti wawancara Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services DATUK AHMAD RUZMAN AHMAD RAZALI bersama wartawan, NOR 'ASYIKIN MAT HAYIN, juruvideo SAIFUL ISKANDAR ISMAIL dan Jurugambar, FATHIL ASRI bagi berkongsi lebih lanjut perkembangan terkini ibadat umrah untuk bakal jemaah umrah Malaysia.

SOP untuk jemaah umrah Malaysia?

Keperluan asas jemaah umrah Malaysia sebelum berlepas ke Tanah Suci secara amnya ialah pasport, salinan sijil nikah bagi suami isteri dan gambar untuk membuat visa.

Selain itu, perlu disertakan bukti sudah mengambil suntikan vaksin meningokokal bertujuan mencegah serangan penyakit meningokokus yang mengakibatkan meningitis.

Bagaimanapun, ketika penularan pandemik Covid-19 ini, ada beberapa SOP tambahan yang perlu dipatuhi jemaah iaitu mesti mendapat kebenaran daripada kerajaan sebelum menunaikan umrah.

Paling penting ialah, kemukakan bukti sudah mengambil ujian calitan RT-PCR yang dilakukan dalam tempoh tidak lebih 72 jam sebelum penerbangan ke Arab Saudi.

Keputusan ujian calitan negatif ini perlu dibawa semasa lapor masuk (check-in) di lapangan terbang.

Ada satu lagi ujian calitan RT-PCR yang perlu jemaah lakukan iaitu pada hari kedua semasa kuarantin di Madinah.

Selain itu, terdapat pilihan untuk jemaah lakukan ujian sebelum pulang ke tanah air.

Jika keputusan ujian calitan ketiga ini negatif, maka tempoh kuarantin di Malaysia boleh disingkatkan daripada 10 hari kepada tujuh hari.

Kerajaan Arab Saudi belum mewajibkan bakal jemaah umrah untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19?

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi mewajibkan suntikan vaksin kepada bakal jemaah umrah.

Ditambah pula, masih banyak negara di dunia yang belum menerima bekalan vaksin Covid-19 secukupnya.

Pada pandangan saya, masih terlalu awal untuk memperkatakan perkara ini.

Berkemungkinan pada pertengahan April, peraturan ini (mewajibkan bakal jemaah umrah untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19) lebih jelas untuk dikongsikan.

Tetapi keadaan boleh berubah pada bila-bila masa bergantung kepada situasi terkini penularan Covid-19.

Difahamkan kos menunaikan umrah mungkin meningkat?

Pelaksanaan SOP baharu dijangka memberi kesan kepada kos terutamanya kos penginapan hotel.

Sebelum pandemik, ada agensi umrah menawarkan pakej penginapan satu bilik empat orang.

Namun, di bawah peraturan baharu disebabkan Covid-19 ini, satu bilik hanya boleh dihuni dua jemaah sahaja.

Ini bermakna tiada lagi tawaran pakej satu bilik untuk empat orang seperti sebelum ini.

Selain itu, keperluan SOP pertama semasa tiba di Arab Saudi ialah jemaah perlu dikuarantinkan tiga hari pertama di bilik hotel.

Dalam tempoh itu, jemaah tidak dibenarkan keluar daripada bilik dan makanan disediakan pihak hotel dalam bentuk bungkusan.

Harga makanan di hotel lima bintang contohnya adalah lebih mahal yang berkemungkinan mencecah 320 Saudi Riyal untuk sebilik sehari.

Sedangkan bilik hotel tanpa makanan untuk dua orang adalah sekitar 300 Saudi Riyal satu bilik.

Keduanya ialah kos pengangkutan yang mana muatan bas dihadkan kepada 50 peratus penumpang sahaja, sekali gus menyebabkan kos meningkat.

Oleh itu, harga pakej umrah boleh meningkat sehingga sekitar RM7,500 berbanding sekitar RM5,500 sebelum ini.

Berkemungkinan akan ada jemaah umrah yang sedikit terbeban dengan peningkatan kos itu.

Dalam perkara ini, jemaah perlu melihat syarat istito'ah yang merujuk kepada kemampuan mengerjakan umrah daripada segi kewangan, kesihatan dan perjalanan yang aman.

Sekiranya jemaah tidak memenuhi syarat istito'ah daripada segi kewangan contohnya, maka bukan menjadi kewajipan mereka menunaikan ibadat ini.

Mengerjakan ibadat umrah untuk kali pertama adalah kewajipan hanya apabila memenuhi syarat-syarat istito'ah.

Selagi tidak cukup syarat istito'ah (tiada kemampuan kewangan contohnya) maka gugurlah kewajipan itu.

Malaysia mungkin bakal berhadapan dengan kebanjiran jemaah umrah yang mahu mengerjakan umrah?

TH Travel sentiasa optimis dan yakin perkara ini boleh ditangani dengan baik.

Namun, kita perlu bersedia kerana besar kemungkinan kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah umrah kepada setiap negara.

Setiap syarikat umrah berkemungkinan dihadkan bilangan jemaah umrah yang boleh mengerjakan umrah pada satu-satu masa.

Katakan, had ditetapkan untuk satu syarikat umrah Malaysia ialah 100 orang pada satu-satu masa.

Semua jemaah ini perlu pulang ke tanah air sebelum kumpulan seterusnya berlepas ke Arab Saudi.

Pastinya kerajaan Arab Saudi akan berlaku adil dalam pemberian kuota kepada setiap negara.

Pada masa sama, kerajaan Arab Saudi sangat mengutamakan penjagaan kesihatan dan keselamatan semua jemaah.

Norma baharu mengerjakan umrah, kesannya kepada jemaah umrah?

Oleh kerana jemaah umrah perlu menjalani kuarantin selama tiga hari sebaik tiba di Arab Saudi, mereka perlu mendaftarkan kehadiran di Arab Saudi melalui aplikasi Tawakkalna dalam masa lapan jam selepas mendarat.

Aplikasi Tawakkalna ini dibangunkan pihak berkuasa Arab Saudi bertujuan memperkasakan standard penjagaan kesihatan di sebalik pandemik Covid-19 dan memudahkan pemantauan pergerakan jemaah umrah.

Tempoh jemaah berada di tanah suci pula dihadkan iaitu di antara sembilan hingga 10 hari.

Selepas selesai kuarantin, barulah jemaah dibenarkan masuk ke Masjid Nabawi untuk menziarah makam Rasulullah SAW dan mendirikan solat sunat di Raudah jika berkesempatan dan mendapat permit melalui aplikasi Eatamarna.

Kedua-dua aktiviti utama ini diinginkan jemaah umrah, tetapi di bawah SOP baru ini, mereka perlu membuat tempahan dalam aplikasi Eatamarna.

Ketika aktiviti ziarah di makam Rasulullah SAW, jemaah tidak boleh berhenti di kawasan itu untuk berdoa atau berniat.

Semua ini perlu dilakukan sambil berjalan.

Jemaah diberikan masa lima minit untuk solat di Raudah dan tidak boleh melebihi tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, jemaah tidak perlu membuat tempahan dalam aplikasi Eatamarna untuk tujuan menunaikan solat fardhu dan sunat di Masjid Nabawi, Madinah.

Ziarah ke tempat bersejarah memang disenaraikan dalam pakej umrah.

Namun, perubahan yang ketara dalam aktiviti ini ialah, semua jemaah hanya dibenarkan berziarah daripada atas kenderaan.

Contoh, mereka tidak dibenarkan turun dari kenderaan di Masjid Quba untuk menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid.

Selain itu, sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci Makkah, syarikat umrah perlu memastikan waktu yang dibenarkan jemaah masuk ke dalam Masjidil Haram untuk melakukan tawaf dan sai'e umrah.

Berdasarkan aplikasi Eatamarna, hanya tiga waktu yang dibenarkan untuk ibadat berkenaan iaitu jam 4 petang, 8 malam dan 12 tengah malam.

Dalam norma baharu ini juga, jemaah perlu terlebih dahulu mendapatkan permit melalui aplikasi Eatamarna setiap kali ingin mengerjakan umrah kedua.

Jika permohonan gagal, maka mereka tidak boleh melaksanakan ibadat berkenaan.

Untuk menunaikan solat lima waktu di dalam Masjidil Haram, jemaah perlu mendapatkan permit melalui aplikasi Eatamarna.

Jika tidak mendapat permit itu, mereka masih boleh solat berimamkan Imam Masjidil Haram, iaitu di kawasan dataran atau pekarangan masjid, dengan mengamalkan SOP penjarakan fizikal.

KAABAH.
KAABAH.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 10:43 AM