ANTARA pengembara yang selesai menunaikan umrah tiba di balai ketibaan KLIA dari negara Arab Saudi pada tahun lalu.
ANTARA pengembara yang selesai menunaikan umrah tiba di balai ketibaan KLIA dari negara Arab Saudi pada tahun lalu.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Keputusan menangguhkan ibadat umrah berkuat kuasa 8 Januari ini berikutan penularan varian Omicron Covid-19 memberi impak besar kepada Agensi Pelancongan Umrah dan Haji yang terpaksa menanggung kerugian RM60 juta dalam tempoh sebulan ini.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah Dan Haji (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, setakat ini seramai 10,000 jemaah sudah berdaftar untuk menunaikan umrah bermula bulan ini dan agensi terbabit bakal menanggung kerugian RM60 juta apabila mereka ini tidak dapat menunaikan umrah.

Menurutnya, jika ia berlanjutan lagi dalam tempoh tiga bulan, jumlah kerugian akan meningkat sehingga RM200 juta dan sebab itu Papuh meminta kerajaan menunda keputusan itu bagi tempoh sebulan lagi.

"Jika boleh Papuh harap kerajaan dapat menunda keputusan (penangguhan ibadat umrah) itu dan membenarkan orang ramai menunaikan ibadat umrah bagi tempoh sebulan lagi.

"Namun, dalam masa kawalan prosedur operasi standard (SOP) perlu diperketatkan kepada jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah, mereka perlu terus dikuarantin di pusat kuarantin dan hotel terpilih yang dijadikan tempat kuarantin," katanya kepada Harian Metro.

Razali berkata, keputusan menangguh ibadat umrah dalam tempoh terdekat ini memberi masalah kepada agensi yang menguruskan ibadat itu kerana persiapan 10,000 jemaah berdaftar sudah dilakukan.

"Selepas sebulan ini kita lihat kesannya (menunda penangguhan ibadat umrah).

"Jika penularan jangkitan dapat kita kawal, maka tidak jadi masalah untuk aktiviti umrah ini boleh diteruskan seperti biasa dengan penambahan SOP ketat ini tetapi jika masih menular maka kita akur untuk kerajaan menangguhkan ibadat umrah," katanya.

Sementara itu, petugas media, Ahmad Lukman Jaafar yang sepatutnya mengerjakan umrah pada 26 Januari ini terkilan apabila hajat untuk melakukan ibadat itu bersama ibu bapanya tidak kesampaian dan terpaksa ditunda sementara waktu.

"Segala persiapan sudah dibuat dua bulan lalu namun terpaksa ditangguh susulan pengumuman kerajaan itu.

"Sedih itu tetap ada kerana sudah membuat persiapan namun terpaksa berserah dan jika ada rezeki sudah pasti dapat ke sana nanti," katanya.

Ahmad Lukman berkata, dia mengetahui berita mengenai jemaah umrah yang balik dari Tanah Suci dijangkiti Covid-19 dan akur dengan saranan kerajaan untuk menangguhkan ibadat itu.

"Saya akur dengan saranan kerajaan itu, tambahan pula saya pergi sama emak dan ayah, bimbang juga dengan kesihatan mereka," katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini susulan peningkatan penularan varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Khairy dipetik berkata, penilaian risiko situasi Covid-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 3:47 PM