DATUK Rosol Wahid (baju putih) bersama Maliaman Kassim (baju ungu) ketika melawat jualan Kedai Runcit Bergerak Prihatin Mart di Dataran Kampung Pela, Ajil. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
DATUK Rosol Wahid (baju putih) bersama Maliaman Kassim (baju ungu) ketika melawat jualan Kedai Runcit Bergerak Prihatin Mart di Dataran Kampung Pela, Ajil. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Kedai runcit bergerak, Prihatin Mart kelolaan Parlimen Hulu Terengganu akan diperluaskan ke seluruh negara dan dijadikan sebahagian program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid berkata, cadangan itu berikutan program terbabit yang mendapat sambutan tinggi masyarakat dengan barang keperluan dijual 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

"Kita menerima sambutan yang baik dan ada permintaan daripada seluruh negara seperti Melaka, Johor, Perak, Selangor, Negeri Sembilan yang mahu Prihatin Mart diadakan di kawasan mereka.

"Memang banyak permohonan dan kita akan fikir cara untuk bantu, sebab kita ada kekangan kerana tidak mempunyai van bergerak yang banyak.

"Bagaimanapun, kita akan mencari alternatif terbaik untuk memenuhi permintaan ini dan jangka program ini akan diperluaskan ke Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah dalam masa terdekat," katanya ketika melawat jualan Kedai Runcit Bergerak Prihatin Mart di Dataran Kampung Pela, Ajil di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Maliaman Kassim.

Prihatin Mart dicetuskan Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, pertama kali dilaksana di Dataran Kampung Kuala Telemong di sini, pada 1 Februari lalu yang digilirkan di empat kawasan DUN parlimen itu.

Ia menjual 91 jenis barangan keperluan utama termasuk beras, bawang, gula pasir, tepung gandum dan minyak masak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 4:13 PM