Baharom Bakar

Kuala Berang: Menawarkan 91 jenis barangan makanan asas dengan harga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran, kewujudan kedai runcit bergerak, Prihatin Mart sememangnya dinantikan kerana ia mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Diilhamkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid ia bertujuan untuk membantu rakyat terutama yang terkesan dan terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

Seorang suri rumah, Faridah Taib, 50, dari Kuala Telemong, berkata walaupun terpaksa beratur panjang, tetapi dia berpuas hati apabila semua barangan makanan asas dijual lebih murah jika dibandingkan dengan harga di beberapa pasar utama.

Menurutnya, harga sekampit beras seberat 10 kilogram (kg) hanya berharga RM18, berbanding antara RM25 dan RM27 di pasar utama.

"Harga minyak masak paket pula dijual dengan harga RM1.75 sekilogram sedangkan harga di pasaran adalah RM2.50 sen manakala gula pasir pula RM2.05 sekilogram sedangkan harga di pasaran ialah RM2.80.

"Program ini jelas menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil berat masalah dihadapi rakyat, terutama dalam keadaan sekarang," katanya.

Rosol (kiri) sedang melayani pengunjung yang membeli belah barangan keperluan asas di Kedai Runcit Bergerak di Dataran Kuala Telemong, Kuala Berang, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Rosol (kiri) sedang melayani pengunjung yang membeli belah barangan keperluan asas di Kedai Runcit Bergerak di Dataran Kuala Telemong, Kuala Berang, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR

Sementara itu, Rosol ketika ditemui berkata program itu adalah langkah kerajaan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, 91 pelbagai jenis barangan keperluan asas termasuk beras, bawang, gula pasir, tepung gandum, minyak masak, dijual pada harga potongan 30 peratus.

"Kedai runcit bergerak ini menawarkan potongan 30 peratus termasuk barangan kawalan. Ia akan terus diadakan secara bergilir di empat kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) di Parlimen Hulu Terengganu," katanya.

Sementara itu, tinjauan dilakukan mendapati semua barangan yang dijual di dalam program itu habis dijual dalam tempoh tiga jam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 8:48 PM