Norhayati Nordin


LEMBARAN 2021 yang hampir sebulan melakarkan kisahnya, sudah bermula dengan perkembangan krisis pandemik Covid-19 yang makin serius di negara ini.

Setiap hari jumlah jangkitan dilaporkan meningkat dan boleh dikatakan untuk gelombang kali ini, beberapa selebriti tanah air turut disahkan positif virus berkenaan.

Antaranya ialah Emma Maembong, Shima Anuar, Aeril Zafrel, Harris Anuar termasuk dua anggota Drama Band iaitu Aepul Roza (vokalis) dan Faeez (pemain dram).

Apapun, tahap kesihatan Aepul dan Faeez kini semakin pulih dan sekarang mereka sudah kembali aktif dalam perjuangan seni muzik. Ternyata, semangat untuk bekerja membara semula.

Menariknya, sebagai permulaan gerak kerja selepas kembali bertenaga dan makin sihat ini, Drama Band bakal tampil dengan lagu baharu mereka berjudul Jika Tiada Esok.

Karya yang sarat mesej tersendiri itu, hasil ciptaan Aepul yang memaklumkan ilhamnya diperoleh ketika Drama Band terbabit kemalangan jalan raya di Pulau Pinang pada Mac tahun lalu.

Berbicara lanjut, Aepul berkata, lagu Jika Tiada Esok itu agak peribadi baginya. Justeru, dia membuat keputusan tidak memuatkannya dalam album mini Drama Band sebelum ini.

"Namun, saya berasa sekarang adalah masa sesuai untuk Drama Band mempersembahkan lagu Jika Tiada Esok kerana karya ini umpama puisi untuk semua orang yang saya sayang.

"Lirik lagu ini cukup mendalam dan menyentuh emosi yang mana ia meluahkan rasa kalau saya tidak sempat memberitahu betapa besarnya sayang yang ada di dalam hati ini buat mereka,

" katanya.

DRAMA Band bakal tampil dengan lagu baharu, Jika Tiada Esok.
DRAMA Band bakal tampil dengan lagu baharu, Jika Tiada Esok.

Menurut Aepul, lagu Jika Tiada Esok lebih menjurus pada perkongsian perasaan yang mengharapkan kita semua menghargai insan tersayang selagi mereka berada di sisi.

Justeru, Aepul berharap semoga lagu baharu Drama Band ini akan diterima baik pendengar. Katanya, dia bersama anggota Drama Band yang lain selesa berkongsi karya seni mereka yang padat dengan mesej.

Selain Aepul dan Faeez, Drama Band turut dianggotai Adib selaku pemain gitar utama, Padel (gitar kedua), Daus (bass) dan Omey (keyboard).

Cukup dikenali dengan lagu-lagu berbaur sindiran sinis dan seiring isu semasa, Aepul berkata, penghasilan karya bermesej sebegitu membuatkan Drama Band berjaya dalam 'menjenamakan' perjuangan muzik mereka.

Ujar Aepul lagi, bertepatan maksud 'drama' yang diguna sebagai nama kumpulan mereka, pastinya karya dihasilkan penuh dengan mesej dan pelbagai ceritera ragam manusia dalam kehidupan seharian.

Pada tahun lalu, Drama Band juga tampil melancarkan beberapa single mereka seperti Kayangan, Satu Satu dan J.B.KT (Jangan Bikin Kerja Tuhan).

AEPUL Roza sah dijangkiti Covid-19 pada 14 Januari lalu.
AEPUL Roza sah dijangkiti Covid-19 pada 14 Januari lalu.

Pengalaman Covid-19

Pada 14 Januari lalu, Aepul disahkan positif Covid-19. Begitu juga, Faeez berserta isterinya, Rea serta anak mereka yang berusia enam bulan juga dijangkiti wabak itu.

Beberapa hari kemudian, anak perempuan Aepul iaitu Nur Saffiya Alisha, 5, disahkan positif Covid-19 juga. Cuma, isterinya, Leez Rosli yang kini hamil enam bulan dimaklumkan negatif.

Berkongsi kisah itu, Aepul berkata, dia pada awalnya hanya demam panas sahaja. Bagaimanapun, selera makannya makin hilang dan paling sukar dihadapi apabila tiada deria rasa dan bau.

"Saya orangnya sangat susah nak makan. Jadi, bila lidah dah tak rasa, saya terus tak boleh makan kerana hilang selera. Nanti kalau makan juga, mesti muntah.

"Bagi memastikan saya ada tenaga untuk membantu tubuh melawan kesakitan dialami, saya ambil minuman kesihatan berprotein serta multivitamin yang senang nak ditelan untuk bertahan sehingga selera makan ada semula," katanya yang menjalani kuarantin di rumah.

Menurut Aepul lagi, apa yang benar-benar dirasakannya ketika itu adalah dugaan menghadapi kematian. Katanya bermacam-macam perkara berlegar di fikiran.

Bagaimanapun, Aepul bersyukur ketabahan isteri dan kekuatan ditunjukkan anak memangkin semula semangat juang dalam dirinya untuk bangkit menghadapi ujian takdir dan kembali sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 6:00 AM