ADRIAN mengaktifkan food bank itu sejak dua minggu lalu. FOTO Ihsan Adrian Siaw Chee Hua
ADRIAN mengaktifkan food bank itu sejak dua minggu lalu. FOTO Ihsan Adrian Siaw Chee Hua
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Keinginan meringankan beban penduduk ketika berdepan kesulitan pandemik Covid-19 mendorong anak muda ini Adrian Edy Siaw Chee Hua, mengaktifkan food bank di Sekolah Kebangsaan (SK) Pomotodon di Inanam, Sabah.

Menurut Adrian, 24, food bank itu diaktifkan sejak dua minggu lalu dengan tujuan memberi peluang kepada penduduk setempat mendapatkan bekalan barangan keperluan secara percuma.

Katanya, selain wang simpanan sendiri, sumbangan daripada orang ramai banyak membantunya menjayakan inisiatif itu.

"Idea untuk mengaktifkan food bank ini tercetus secara spontan selepas melihat keperluan penduduk di sini yang sebahagian besarnya kurang berkemampuan dan terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Lagipun, agak sulit untuk mengadakan penyampaian bantuan ke rumah penduduk terbabit kerana Covid-19 masih belum reda jadi ada baiknya disediakan satu tempat untuk mereka datang sendiri mengambil barangan keperluan.

"Setiap penduduk boleh mengambil empat barangan pada satu-satu masa dan Food Bank dibuka setiap hari kecuali hujung minggu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, sehingga kini, dianggarkan 80 penduduk sudah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Biarpun inisiatif itu hanya dalam skala yang kecil, Adrian gembira kerana dapat membantu mengikut kemampuannya.

"Sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu saya membantu penduduk setempat tetapi setakat mana yang termampu kerana pergerakan terbatas ketika itu.

"Kini, ada sedikit kelonggaran untuk melaksanakan inisiatif sebegini cuma prosedur operasi standard (SOP) tetap dipatuhi.

"Selain food bank, saya turut sediakan sarapan ringkas dan beri secara percuma kepada penduduk setempat jika ada kelapangan.

"Perancangan akan datang adalah melaksanakan bank alat tulis pula, kemungkinan selepas berakhirnya kawalan rentas daerah di Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 9:47 PM